SUBANG JAYA – Seorang suri rumah yang bekerja sambilan sebagai menjaja air soya di kawasan Bukit Lanchong gagal menahan air matanya kerana bersyukur apabila dua daripada empat anaknya menerima bantuan persiapan Hari Raya daripada Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA) hari ini.
Siti Zaharah Tokiman, 42 berkata, bantuan tersebut sangat dihargainya memandangkan dia dan suami yang tidak mampu bekerja sejak tahun lalu akibat sakit buah pinggang, sekali gus tidak mampu memenuhi keperluan anak-anaknya menjelang Syawal, tidak lama lagi.
“Saya berterima kasih dapat bantuan ini, sebab saya tidak mampu. Saya bersyukur sangat ada anak yang dapat bantuan hari ini. Boleh menampung perbelanjaan meringankan beban saya suami isteri. Saya cukup bersyukur,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Dua daripada empat anak Zaharah merupakan penerima bantuan Program Shopping Raya 2026 Anak-Anak Asnaf dan Pelajar Tahfzi Zon Tengah Bersama Yayasan Pekema, hari ini.
Mengenangkan ketidakmampuan dirinya dan suami, Zaharah berkata, beliau dan suami tidak memikirkan persediaan untuk mereka berdua, sebaliknya sedih setiap kali memikirkan keempat-empat anaknya.
“Saya jual soya panas rumah ke rumah di kawasan Bukit Lanchong, Bukit Tengah, Lanchong Jaya. Saya tidak fikir langsung persediaan Hari Raya, saya hanya fikir persediaan untuk anak-anak saya, itu memadai,” ujarnya dalam kesedihan.

Dalam pada itu, seorang bapa yang hanya ingin dikenali sebagai Muhammad Hafiz, 37, juga lega apabila keenam-enam anaknya layak menerima bantuan persediaan Hari Raya, hari ini.
Ujarnya, lazimnya dia dan isteri yang tidak bekerja membeli keperluan Hari Raya keenam-enam anaknya secara berperingkat setiap bulan kerana tidak mampu berbelanja sekali gus.

Namun, katanya, bantuan Hari Raya daripada PEKEMA yang diterima semua anaknya untuk kali kedua meringankan perbelanjaannya.
“Kadang-kadang kita tidak jangka, sambutan Tahun Baru, sekolah, terus berpuasa. Nak bajet pun masih susah. Jadi dengan bantuan hari aya untuk anak-anak asnaf anak saya layak terima, Alhamdulillah.
“Saya jarang berbelanja serentak, setiap bulan beli untuk satu orang anak, tidak akan mampu dan terasa kalau berbelanja sekaligus untuk semua mereka. Bukan untuk Hari Raya sahaja, untuk persediaan persekolahan juga, sebab belanja pun besar,” katanya.
Sementara itu, seorang pelajar Maahad Tahfiz Miftahul Ulum (MTMU), Nur ‘Aisyah Hawani Zulfikhar, 18, yang layak menerima bantuan anak-anak asnaf turut gembira apabila doanya dimakbulkan.

Katanya, dia sedar ibu dan ayahanya bekerja, justeru tidak berkemampuan untuk berbelanja lebih pada tahun ini kerana kos sara hidup yang semakin menghimpit.
“Alhamdulillah, Allah makbulkan bagi rezeki untuk beli baju raya, kasut raya. Jadi saya nak guna sebaiknya. Saya gembira sangat. Alhamdulillah,” katanya.
Pagi tadi, setiap anak asnaf dan yang layak menerima bantuan daripada PEKEMA hari ini mendapat RM200 untuk membeli kelengkapan Aidilfitri masing-masing.
PEKEMA memperuntukkan RM720,000 untuk disumbangkan kepada 3,600 anak-anak asnaf dan golongan yang tidak berkemampuan. – MalaysiaGazette
















