KUALA LUMPUR – Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay menyifatkan pegawai-pegawai Bahagian Counter Terrorism E8 Cawangan Khas Bukit Aman yang terlibat dalam misi senyap menyelamatkan mangsa yang diculik oleh Abu Sayyaf (ASG) pada tahun 2012 sebagai wira-wira yang tidak didendang.
Timbalan Ketua Polis Negara yang berkongsi cerita menerusi perkongsian di Facebook berkata, misi itu bermula selepas seorang lelaki, Mohd Nazarrudin Saidin diculik sekumpulan lelaki bersenjata pada 8 Mei 2011 ketika berada di Pulau Sulu, Selatan Filipina.
Ketika kejadian, lelaki berkenaan sedang menguruskan perniagaan mencari cicak tokek yang semasa itu mempunyai nilai tinggi di pasaran gelap.
“Mangsa ditahan selama 378 hari dan dipindahkan dari satu pulau ke satu pulau lain di gugusan kepulauan Mindanao bagi mengelak dikesan pihak berkuasa Filipina,” tulisnya.
Beliau yang bertugas sebagai Timbalan Pengarah Pasukan Petugas Khas (Operasi/Counter Terrorism) Bukit Aman pada awal April 2012 itu telah dihubungi oleh Pengerusi Kelab Putera 1Malaysia, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim yang memaklumkan keluarga mangsa dari Sungai Buloh merayu supaya bantuan digerakkan untuk membebaskan Mohd Nazarrudin.
Sejak detik itulah, bermulanya misi menyelamatkan mangsa oleh tiga pegawai operasinya yang dikenali sebagai Reno, Jaybon dan Komeng, katanya.
“Ketiga-tiga pegawai operasi tersebut telah diarahkan untuk bergerak ke Sandakan, Sabah bagi bertemu dengan beberapa ‘sumber’ di lapangan yang mempunyai rangkaian dan hubungan di Selatan Filipina, dengan tujuan mendapatkan lokasi terkini mangsa serta kaedah membawa keluar mangsa dengan selamat.
“Pada pertengahan April 2012, pegawai-pegawai operasi kami telah berulang-alik ke Sandakan bagi mengatur pertemuan dengan ‘sumber’.
“Berbekalkan pengalaman luas dalam merekrut dan mengendalikan sumber, perancangan rapi telah disusun bagi memastikan operasi ini dapat dijalankan tanpa menimbulkan sebarang kecurigaan,” jelasnya.
Tambah beliau, hasil daripada maklumat yang diperoleh mendapati kes culik itu diketuai oleh Apo Mike @ Majan Sahidjuan yang merupakan seorang Sub-Komander Abu Sayyaf.
Ayob Khan berkata, pegawai operasi yang digerakkan ke Sandakan untuk merunding menggunakan hujah kemanusiaan, keadaan keluarga mangsa yang sangat daif serta hakikat mangsa merupakan saudara seagama Islam dengan pihak penculik.
Katanya, cara itu sedikit demi sedikit telah melembutkan pendirian penculik.
“Pada awal Mei 2012, saya bersama beberapa lagi orang pegawai telah berlepas ke Sandakan dan membuka Tactical Operation Center (TOC) di lokasi sulit bagi menyelaras operasi tersebut.
“Bagi memastikan kelancaran operasi, kerja-kerja risikan lapangan turut dijalankan termasuk pemerhatian pergerakan keluar masuk bot dan kapal di perairan Sandakan, serta mengenal pasti waktu dan laluan paling sesuai untuk pergerakan tanpa dikesan,” katanya lagi.
Kemudian katanya, rundingan akhir dimuktamadkan apabila pada 11 Mei 2012, ‘sumber’ telah digerakkan ke Pulau Jolo, Selatan Filipina bagi mengambil mangsa yang ditahan oleh pihak ASG.
Akhirnya pada 13 Mei pada jam 5 pagi ‘ sumber ‘ telah menghubungi Pegawai Operasi untuk menyerahkan mangsa di tengah-tengah perairan Sandakan–Taganak sebelum kesemua mereka selamat mendarat di Sandakan pada jam pada 6.15 pagi tanpa dikesan oleh mana-mana pihak.
“Saya bersama pegawai-pegawai dari TOC yang menanti di Jeti Sandakan menyambut ketibaan Nazarudin, Reno dan Jaybon.
“Kejayan operasi sulit berisiko tinggi berjaya dilancarkan dengan perancangan rapi dan keberanian pegawai-pegawai kami di Counter Terrorism khususnya Reno, Jaybon dan Komeng,” katanya lagi.- MalaysiaGazette
















