KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) atau ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) boleh meletak jawatan parti sebagai tanda menolak penguasaan pemimpin tertentu, tanpa keluar parti.
Bekas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, peletakan jawatan di dalam parti juga bukan bermaksud melompat parti.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor mengambil contoh pembubaran jawatankuasa Bersatu Bahagian Pendang yang diketuai oleh ADUN Sungai Tiang yang juga Timbalan Speaker Kedah, Razak Khamis.
Menurutnya, pembubaran jawatankuasa Bahagian Pendang itu melambangkan akar umbi Bersatu mahukan ADUN mereka juga mengikuti langkah yang dimulakan oleh 19 ahli Parlimen yang telah hilang kepercayaan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Tetapi wujud persoalan adakah peraturan anti lompat parti terpakai jika seseorang ADUN atau MP keluar parti.
“Untuk menjawab soalan yang diajukan kepada saya oleh ramai ADUN Bersatu, saya nyatakan langkah Razak selaku Ketua Bahagian Pendang menjawab persoalan ini, iaitu seseorang ADUN atau MP boleh meletak jawatan parti seperti jawatan Ketua Bahagian sebagai tanda menolak penguasaan Azmin-Muhyiddin dalam Bersatu, tetapi tidak keluar parti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, Wan Saiful mengajak lebih ramai ahli Bersatu bersama-sama gerakan `Reset Malaysia’ bagi membuktikan kepada rakyat dan pengundi bahawa kesetiaan sebenar adalah kepada perjuangan membela nasib rakyat serta membina bangsa dan negara, bukan perjuangan mengangkat kepentingan peribadi pasangan Azmin-Muhyiddin sahaja.
Kata beliau, rakyat akan menghukum mana-mana ahli politik yang meletakkan kepentingan peribadi lebih tinggi dari perjuangan agama, bangsa dan negara.
“Biarkan pasangan Azmin-Muhyiddin bermain dengan perkara teknikal seperti bahagian tidak terbubar apabila AJK meletak jawatan.
“Itu sajalah propaganda yang mereka mampu. Hakikatnya apabila sebegitu ramai AJK meletak jawatan, maka jawatan kuasa bahagian itu telah terbubar dan bahagian itu menjadi lumpuh,” katanya.
Ketika ini, lebih 30 Bahagian Bersatu di seluruh negara mengumumkan pembubaran jawatankuasa masing-masing susulan pergeseran dalaman parti itu yang mencapai kemuncaknya dengan pemecatan bekas Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Bagaimanapun, Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, perlembagaan parti itu tidak memperuntukkan sebarang kuasa kepada mana-mana ahli termasuk ketua bahagian untuk membubarkan mana-mana bahagian parti berkenaan. – MalaysiaGazette
















