Presiden MCW, Jais Abdul Karim

KUALA LUMPUR – Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) menyokong tindakan saman oleh Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki terhadap Bloomberg berhubung artikel yang didakwa berunsur fitnah.

Presidennya, Jais Abdul Karim berkata, setiap individu termasuk penjawat awam berprofil tinggi berhak mempertahankan reputasi dan maruahnya melalui saluran undang-undang sekiranya merasakan difitnah atau dilaporkan secara tidak adil.

Ujarnya, MCW tegas dengan pendirian yang mana prinsip rule of law mesti dihormati oleh semua pihak.

“Jika benar laporan tersebut mengandungi elemen tidak tepat, mengelirukan atau berat sebelah maka tindakan saman adalah langkah sah dan profesional untuk membolehkan mahkamah menentukan kebenaran.

“Dalam negara hukum, tuduhan tidak boleh dijadikan hukuman tanpa proses perundangan yang adil,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelasnya, hak untuk mengambil tindakan saman adalah hak peribadi Azam sebagai individu dan bukan tanda intimidasi atau tidak menghormati kebebasan kewartawanan. Tambah beliau, keputusan menggunakan saluran mahkamah adalah pendekatan bertamadun dalam menyelesaikan pertikaian fakta dan reputasi.

Dalam masa sama, ujar beliau, pihaknya konsisten bahawa integriti institusi penguatkuasaan mesti dipertahankan.

“Tuduhan yang tidak berasaskan fakta dan disensasikan boleh memberi kesan negatif terhadap keyakinan rakyat serta pelabur antarabangsa terhadap sistem pentadbiran negara,” katanya.

Dalam masa sama, Jais turut mengingatkan kebebasan media datang bersama tanggungjawab kewartawanan yang tinggi termasuk kewajipan semakan fakta, pengesahan silang sumber dan pelaporan yang seimbang.

Tegas belilau, media antarabangsa tidak terkecuali daripada prinsip itu yang mana media harus lebih adil dan berhati-hati agar tidak diperalatkan oleh mana-mana pihak berkepentingan untuk membentuk naratif yang belum dibuktikan.

“MCW menyeru semua pihak agar menghormati proses perundangan dalam kes Azam ini dan tidak membuat spekulasi yang boleh mengganggu perjalanan keadilan.

“MCW akan terus berdiri teguh mempertahankan integriti institusi dan memastikan perjuangan memerangi rasuah tidak dilemahkan oleh naratif yang belum diuji di mahkamah,” katanya.

Azam telah memfailkan saman terhadap terhadap Bloomberg berhubung artikel berunsur fitnah berkaitan dakwaan pemilikan saham yang diterbitkan pada 10 Februari lalu.

Menerusi writ saman dan pernyataan tuntutan itu, Azam selaku plaintif menuntut ganti rugi am sebanyak RM100 juta, ganti rugi teruk dan teladan, faedah serta kos. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast