KUALA LUMPUR – Parti Keadilan Rakyat (PKR) perlu bergerak melewati sosok pemimpin tertentu yang dilihat mengambil tindakan-tindakan untuk melemahkan parti itu ketika kehilangan pengaruh.
Timbalan Setiausaha Agung Keadilan, Saifuddin Shafi Muhammad berkata, banyak tenaga dalam PKR ditumpukan dalam melayan hal merajuk dan titik bengik pemimpin berkenaan yang ketika ada kedudukan tidak bekerja untuk akar umbi.
Menurutnya, sebagai sebuah parti politik yang kini menerajui pentadbiran negara, PKR mesti belajar sedikit daripada bekas rakan politiknya, Pas dalam meneruskan rencana politik ke hadapan.
Tambahnya, sebagaimana Pas yang menyedari bahawa kedudukan politik mereka tidak akan bertambah baik jika melayan kerenah Bersatu, lalu membuat beberapa tindakan penambahbaikan dalaman Perikatan Nasional (PN) untuk terus mara, maka PKR juga perlu bergerak melewati sosok satu dua pemimpin berkenaan.
Apatah lagi, ujarnya, PKR telah mengambil keputusan besar dan penting tahun lalu untuk menyusun kepimpinan organisasi ini melalui satu proses pemilihan yang harus diterima oleh semua pihak.
“Tidak perlu lagi ada dakwa-dakwi dan jika masih mahu pun harus dibuat dalam kerangka parti bukan dengan niat menelanjangi hanya kerana rasa tidak puas hati.
“Cukuplah anggota yang memilih dengan majoriti besar ditekan dengan pertuduhan yang pelbagai oleh kumpulan menang sorak kampung tergadai,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.
Dakwa Saifuddin, kumpulan itu sedari awal tidak berniat bertanding pada pemilihan PKR untuk menang, tetapi lebih kepada menggunakan ruang demokrasi bagi mencalarkan maruah parti.
“Sikap dia sahaja betul, dia sahaja penyelamat dan dia sahaja pandai tidak boleh lagi dijadikan asas parti ini yang sebenarnya mempunyai daya tahan luar biasa dalam sepak terajang politik,” katanya.
Tambahnya, pahit selepas hanya tinggal satu kerusi pada 2004 tidak jauh bezanya daripada satu kerusi yang tinggal pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, tahun lalu.
Namun, jelasnya, PKR boleh terus bangkit sesuai momentum pentadbiran yang ditunjukkan oleh Presiden yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Isu kita kini bukan lagi tentang siapa yang mahu bersama parti ini di masa hadapan, tetapi bagaimana mahu menyiapkan kerangka dan model organisasi yang kukuh untuk mendukung pentadbiran negara untuk penggal mendatang.
“Pemimpin yang terang-terang menyerang dan memperlekehkan kepimpinan utama, menyindir dan merendah-rendahkan pentadbiran parti adakah wajar terus diberikan layanan anak emas hanya untuk menjaga hati beliau?
“Tiba masanya kita mengambil sikap bersiap-sedia, orang sudah tidak sudi jangan kita seperti peribahasa ombaknya kedengaran pasir tidak kelihatan.
“Yang penting tidak perlu menari mengikut rentak kawan yang berniat menjadi lawan,” katanya.
Tambah Saifuddin, PKR telah ditinggalkan oleh ramai pimpinan yang akhirnya hanya mahu dijulang dan disanjung dan tidak betah sekiranya disanggah, namun tidak akan tempang.
















