KUALA LUMPUR – Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan pembatalan membabitkan Malaysia Futsal Cup (MFC), Kejohanan Futsal Lelaki Bawah 19 Tahun Kebangsaan serta Kejohanan Bolasepak Pantai Kebangsaan musim ini.
Badan induk bola sepak negara itu menjelaskan keputusan membatalkan tiga kejohanan kebangsaan itu dibuat atas pertimbangan strategik dan ia bukannya satu langkah ke belakang terhadap pembangunan futsal dan bola sepak pantai negara.
Menurut kenyataan media yang dikeluarkan hari ini, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira beberapa faktor utama termasuk penyelarasan semula kalendar pertandingan, komitmen pasukan bertanding selain aspek logistik dan infrastruktur.
FAM berkata, penilaian menyeluruh perlu dilakukan bagi memastikan setiap pertandingan yang dianjurkan benar-benar mampu memberi impak positif dan selari dengan perancangan pembangunan jangka panjang.
“Keputusan ini bukanlah satu langkah ke belakang terhadap pembangunan futsal dan bola sepak pantai negara. Sebaliknya, ia merupakan pendekatan strategik bagi memastikan perancangan yang lebih tersusun, mampan dan berimpak tinggi dapat dilaksanakan pada masa hadapan,” menurut kenyataan itu.
Tambah FAM, pihaknya kini sedang menilai semula struktur pertandingan bagi kedua-dua disiplin itu agar ia lebih kompetitif dan memenuhi standard yang ditetapkan.
Langkah penstrukturan semula itu juga bertujuan memastikan kesinambungan pembangunan bakat dapat dijalankan secara lebih sistematik serta memberi manfaat maksimum kepada pemain dan pasukan.
FAM turut memaklumkan pelan terperinci berhubung penstrukturan semula pertandingan futsal dan bola sepak pantai akan diumumkan selepas perbincangan bersama pihak berkepentingan dimuktamadkan. – MalaysiaGazette















