Adun Duyong, YB Datuk Mohd Helmy Abdul Halem menunjukkan juadah berbuka yang diberi oleh peniaga Bazar Ramadan Taman Sri Duyong, Melaka. Foto MUHAIMIN MARWAN, 21 FEBRUARI 2026

KUALA LUMPUR – Menjelang waktu berbuka, kemeriahan bazar Ramadan menjadi destinasi wajib bagi masyarakat untuk mencari juadah pembuka selera.

Bagi Ahli Dewan Undangan Negeri Duyong, Datuk Mohd Helmy Abdul Halem juadah berbuka puasa sekarang sudah tidak seperti dulu apabila kebanyakannya adalah pilihan anak-anaknya.

“Saya ikut sahaja apa yang anak-anak suka makan. Saya ada tiga anak, jadi selera mereka macam-macam. Kalau ikutkan, saya ni senang sahaja orangnya, apa depan mata semua boleh makan

“Saya tak tolak, semua itu rezeki buat saya,” ujarnya menerusi program ‘Iftar Apa Tu YB?’.

Program terbitan MalaysiaGazette ini akan mengikut ‘Yang Berhorrmat’ ke bazar Ramadan untuk melihat apakah juadah yang menjadi pilihan untuk berbuka puasa.

Mengimbau semasa zaman kecil, ayam goreng adalah makanan kegemarannya ketika berbuka puasa.

“Memang hari biasa ada ayam goreng, tapi makan ketika berbuka puasa tu nikmatnya lain macam. Tak perlu lauk lain dah, cukup satu menu memadai untuk saya,” katanya lagi yang sangat ringkas untuk berbuka puasa.

Beliau yang membawa kru MalaysiaGazette ke Bazar Ramadan Taman Sri Duyong turut berkongsi kisah air tebu yang selalu ada ketika berbuka puasa.

“Saya memang suka air tebu. Setiap kali minum tu, ia mengingatkan saya ketika waktu susah dulu. Saya ni datang dari keluarga susah. Rumah tepi sawah. Kalau cakap mandi kolam tu maknanya mandi sawahlah.

“Masa kecik-kecik kalau pergi main, mesti akan kokak tebu yang ada ditanam kawasan sawah tepi rumah kami. Jadi bila lalu je, akan kokak tebu tu,” katanya sambil ketawa mengenang zaman kecilnya.

Bagi Mohd Helmy, kini seteguk air tebu bukan sekadar pelepas dahaga tetapi sebuah kekuatan buatnya kepada jerih perih masa lalu yang membentuk jati dirinya hari ini.

Adun Duyong, YB Datuk Mohd Helmy Abdul Halem ketika di temubual wartawan MalaysiaGazette Haslina AR Kamaludin selepas meluangkan masa turun ke Bazar Ramadan sambil menyantuni peniaga dan pengunjung Bazar Ramadan Taman Sri Duyong, Melaka. Foto MUHAIMIN MARWAN, 21 FEBRUARI 2026

Sepanjang rakaman program ‘Iftar Apa Tu YB?’ berlangsung, Mohd Helmy tidak sempat untuk berbelanja kerana ramai peniaga di situ akan memberikan jualan mereka kepada beliau.

“Saya ni jarang nak ke bazar… bukan sombong tapi para peniaga akan bagi saya jualan mereka, tak ambil apa pula kata mereka, kan.

“Kebanyakan peniaga di sini sudah masuk ke generasi kedua dan ada juga ketiga. Mereka mewarisi perniagaan keluarga dan semuanya sedap-sedap,” katanya.

Seorang peniaga wanita menyediakan murtabak untuk jualan ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Bazar Ramadan Taman Sri Duyong, Melaka. Foto MUHAIMIN MARWAN, 21 Februari 2026

Antara juadah lejen yang masih dijual adalah seperti martabak, tepung pelita, sate dan pelbagai lagi.

Tidak hanya itu, kehadirannya juga bagaikan dinanti-nantikan apabila ramai pengunjung termasuk peniaga yang ingin bergambar kenangan sepertinya.

Paling menarik apabila patung angin dengan wajahnya diletakkan di hadapan bazaar ini tanda selamat datang buat pengunjung. -MalaysiaGazette

VIDEO BERKAITAN:

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast