KUALA LUMPUR – Dewan Ulamak Pas Pusat (DUPP) menuntut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menarik balik teguran terhadap tokoh agama dengan naratif bahawa kedudukan digunakan untuk memecah-belahkan rakyat.
Sambil menyifatkan teguran itu tidak wajar, Ketua Penerangan DUPP, Datuk Mohd Nor Hamzah turut mendesak Anwar memperjelaskan pendirian beliau secara terbuka demi memelihara keharmonian serta mengangkat martabat Islam.
Menurutnya, teguran sebegitu tidak membantu dalam suasana semasa, khususnya ketika umat Islam berdepan pelbagai cabaran pemikiran, serangan persepsi serta usaha sistematik pihak tertentu yang cuba memalitkan lumpur terhadap institusi Islam dan para agamawan.
Kata beliau, sebagai seorang Perdana Menteri yang beragama Islam, adalah menjadi tanggungjawab Anwar untuk memperkukuh keyakinan rakyat terhadap institusi Islam dan golongan ulama.
Tambahnya, Anwar tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan umum yang berpotensi menimbulkan salah faham serta membuka ruang kepada pihak yang memusuhi Islam untuk terus menyerang kewibawaan agamawan.
“Sebarang kenyataan yang bersifat umum dan menyentuh kredibiliti tokoh agama hendaklah dibuat dengan penuh tanggungjawab, berasaskan fakta yang jelas, serta tidak memberi gambaran seolah-olah institusi agama menjadi punca perpecahan,” katanya dalam satu kenyataan.
Media sebelum ini melaporkan teguran Anwar terhadap segelintir pihak yang menggunakan kedudukan sebagai tokoh agama untuk menimbulkan permasalahan sekali gus memecah-belahkan masyarakat berbilang bangsa di negara ini.
Menurut Anwar, tindakan berselindung di sebalik nama agama itu hanya mencetuskan polemik serta merosakkan keharmonian dan usaha membangunkan negara.
Sementara itu, Mohd Nor berkata, golongan ulama berperanan sebagai penasihat ummah dan pemerintah berdasarkan prinsip amar makruf nahi mungkar.
Ujarnya, kritikan terhadap mana-mana pihak hendaklah bersifat spesifik dan berfakta, bukan berbentuk generalisasi yang boleh menjejaskan maruah institusi agama.
“Dalam suasana umat Islam sedang berhadapan dengan pelbagai cabaran dalaman dan luaran, perpaduan mesti dibina atas asas saling menghormati peranan masing-masing, khususnya terhadap institusi ulama yang menjadi benteng akidah dan syariat,” katanya. – MalaysiaGazette
















