Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (kanan) dan Datuk Idris Ahmad. - Foto FB Idris Ahmad

KUALA LUMPUR – Pencalonan Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) dicadangkan sendiri oleh Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad berkata, keputusan tersebut sekali gus mematahkan percubaan pihak tertentu melaga-lagakan golongan ulama dan profesional di dalam Pas.

Malah, ujarnya, Abdul Hadi sendiri memberi laluan kepada Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ru Rendang pada pilihan raya umum (PRU) 2018.

“Inilah sifat pemimpin yang tidak mengejar jawatan, tetapi memikul amanah demi memastikan Islam terus memandu pentadbiran,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.

Sementara itu, Idris berkata, musuh politik juga mungkin berasa kecewa kerana hasrat melihat PN berpecah susulan polemik pelantikan Pengerusi PN itu tidak kesampaian.

Sebaliknya, ujar beliau, kebijaksanaan pimpinan dan kematangan ahli-ahli dalam gabungan politik itu telah berjaya menyekat segala percaturan.

Dalam masa sama, tambahnya, rakyat juga melihat apa yang berlaku di dalam Pakatan Harapan (PH), khususnya berkenaan pergeseran dalaman yang semakin terserlah.

“Rakyat menilai dengan mata dan hati. Alhamdulillah, sokongan akar umbi dan warga maya terus mengalir.

“PN terus melangkah ke hadapan dengan lebih tersusun, matang dan berprinsip,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast