Anggota bomba melakukan kerja-kerja pemadaman kebakaran di sebuah gudang penyimpanan getah dan plastik di Kawasan Perindustrian Sengkang, Senai, Kulai, hari ini.

KULAI – Operasi pemadaman kebakaran besar di sebuah gudang penyimpanan getah dan plastik dalam Kawasan Perindustrian Sengkang, Senai di sini sejak petang semalam kini masuk fasa akhir.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, kerja-kerja pemadaman dilakukan dalam operasi secara bersepadu libatkan pelbagai agensi.

“Operasi pemadaman segera dilaksanakan sebaik laporan diterima melibatkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor, Majlis Perbandaran Kulai (MPKu), Pejabat Daerah Kulai serta agensi teknikal berkaitan.

“Fokus utama ketika ini adalah memadamkan sisa kebakaran dan tompokan bahan mentah getah serta plastik yang masih aktif menggunakan buih bagi mengelakkan kebakaran berulang.

“Bagi melancarkan operasi, MPKu menggerakkan dua unit backhoe dan dua unit excavator sewaan untuk membongkar timbunan sisa kebakaran, selain bantuan tambahan jentera berat termasuk JCB dan excavator diselaraskan oleh Pejabat Daerah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, operasi sebelum ini berdepan kekangan bekalan buih berikutan sifat bahan yang terbakar, namun situasi itu dapat diatasi selepas menerima 25 tong buih daripada JBPM Melaka dan tambahan 30 tong daripada JBPM Putrajaya pagi ini.

“Dengan bekalan ini, kerja-kerja pemadaman kini berada pada fasa akhir dan dianggarkan kira-kira 40 peratus kawasan masih dalam proses dipadamkan,” katanya.

Tambah beliau, kerajaan negeri memberi jaminan aspek keselamatan awam, alam sekitar dan penduduk sekitar sentiasa menjadi keutamaan dengan pemantauan rapi diteruskan sehingga kebakaran dipastikan padam sepenuhnya.

“Siasatan punca kejadian serta penilaian pematuhan operasi premis akan dijalankan oleh agensi berkaitan mengikut undang-undang sedia ada,” katanya.

Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada semua petugas termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang membantu kawalan keselamatan kawasan dan pengurusan lalu lintas sepanjang operasi berlangsung.

Seramai 39 anggota bomba dikerahkan untuk mengawal kebakaran itu yang berlaku kira-kira pukul 4 petang semalam.

Sehingga kini operasi memadamkan kebakaran masih dilakukan dan setakat tengah hari ini kira-kira 65 peratus sudah berjaya dipadamkan.

Kebakaran berkenaan tidak melibatkan sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa namun difahamam asap daripada kebakaran berkenaan mengakibatkan pencemaran udara di kawasan sekitar termasuk dua sekolah berdekatan.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast