Muzium Louvre di Paris. Gambar hiasan

PARIS – Pengarah Muzium Louvre di Paris meletakkan jawatan, beberapa bulan selepas kes kecurian berprofil tinggi permata mahkota Perancis dari salah satu muzium paling banyak dikunjungi di dunia itu.

Laurence des Cars mengemukakan surat peletakan jawatannya kepada Presiden Emmanuel Macron dan menerimanya.

Pada pagi 19 Oktober tahun lalu, pencuri menggunakan lif mekanikal yang dipasang pada kenderaan curi untuk memasuki muzium melalui sebuah balkoni berhampiran Sungai Seine.

Empat suspek utama telah ditahan, namun lapan kepingan barang kemas berharga dianggarkan bernilai 88 juta euro (£76 juta, AS$104 juta) masih belum ditemui.

Antara barang kemas itu termasuk sebuah kalung berlian dan zamrud yang dihadiahkan Maharaja Napoleon kepada isterinya.

Ketika melarikan diri, pencuri tersebut menjatuhkan sebuah mahkota bertatahkan berlian dari abad ke-19 milik Permaisuri Eugénie, yang mengalami kerosakan.

Awal bulan ini, Louvre mengeluarkan imej pertama mahkota yang rosak itu sejak kejadian rompakan, sambil menyatakan ia “hampir utuh” dan boleh dipulihkan sepenuhnya.

Louvre menempatkan karya seni yang tidak ternilai harganya, termasuk Mona Lisa karya Leonardo da Vinci.

Beberapa hari selepas rompakan itu, Des Cars mengakui sistem CCTV di sekitar Louvre adalah lemah dan “usang”, dengan satu-satunya kamera yang memantau dinding luar Louvre di lokasi pencerobohan menghala jauh dari balkoni yang membawa ke Galeri Apollo tempat permata tersebut disimpan.

Walaupun muzium itu menerima jumlah pengunjung yang sangat besar dengan lebih 8.7 juta orang setahun namun pelaburan dalam aspek keselamatan berjalan perlahan, dan beliau menekankan cabaran bajet yang dihadapi institusi besar.

Des Cars, yang dilantik sebagai pengarah Louvre pada 2021 berkata, beliau mahu menggandakan jumlah kamera CCTV.

Siasatan Parlimen berhubung kegagalan keselamatan sedang dijalankan.

Hasil siasatan itu dijangka diumumkan pada Mei, namun laporan awal yang dikeluarkan minggu lalu menyebut wujudnya “kegagalan sistemik” yang membolehkan pencerobohan tersebut berlaku.

Sejak itu, muzium berkenaan berdepan dengan kes penipuan tiket yang disyaki, selain mengalami masalah kebocoran air. -Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast