Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr Radzi Jidin.

KUALA LUMPUR – Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin bersetuju melantik Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin sebagai Ketua Badan Pimpinan Bersatu Melaka berkuat kuasa serta-merta.

Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, Radzi yang juga Ahli Parlimen Putrajaya mempunyai pengalaman dan kepimpinan yang mampu membina kekuatan dalam kalangan pemimpin baharu yang komited kepada idealisme perjuangan Bersatu.

Menurutnya, tugas utama Radzi adalah menyusun semula struktur kepimpinan Bahagian-Bahagian Bersatu di Melaka dalam kalangan pemimpin tempatan termasuk anak muda dan golongan profesional dalam masa terdekat.

“Pasukan kepimpinan yang baharu diyakini akan meneruskan perjuangan rakyat dan menjana kekuatan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang dijangka pada hujung tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Radzi yang merupakan Naib Presiden Bersatu dilantik untuk menjalankan tugas Timbalan Presiden bersama-sama Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu susulan pemecatan Datuk Seri Hamzah Zainudin daripada Bersatu.

Pelantikan Radzi sebagai Ketua Bersatu Melaka adalah bagi menggantikan bekas penyandangnya, Tan Sri Rahim Thamby Chik yang meletakkan jawatan susulan kemelut politik dalaman parti tersebut.

Bersatu Melaka juga dinilai lumpuh selepas lima daripada enam jawatankuasa bahagian parti itu mengumumkan pembubaran serta-merta semalam.

Bahagian terlibat ialah Masjid Tanah; Hang Tuah Jaya; Tangga Batu; Alor Gajah dan Jasin, dengan Kota Melaka merupakan satu-satunya bahagian yang tidak terbabit dalam keputusan tersebut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast