KUALA LUMPUR – Desakan menukar Ketua Pembangkang ketika Parlimen berada di penghujung persidangan adalah langkah yang tidak strategik dan berisiko menjejaskan imej blok pembangkang.
Ketua Penerangan Pemuda Pas, Nadzir Helmi berkata, pihaknya menghormati hak Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam mengurus isu dalaman parti itu.
Namun, ujar beliau, di dalam Dewan Rakyat, ahli parlimen berdiri atas kapasiti blok Perikatan Nasional (PN) secara keseluruhan.
“Dengan persidangan berbaki dua hari sebelum disambung ke Dewan Negara, beberapa rang undang-undang dan pindaan penting sedang dan akan dibahaskan.
“Dalam tempoh kritikal ini, menukar Ketua Pembangkang hanya akan memberi gambaran bahawa pembangkang tidak stabil, sekali gus melemahkan kekuatan hujah dan penyelarasan di Dewan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz menggesa Ahli Parlimen Bersatu yang dipecat dipindahkan segera ke blok bebas di Dewan Rakyat serta dilucutkan jawatan Ketua Pembangkang.
Sementara itu, Nadzir menegaskan, keutamaan PN ketika ini adalah mempertahankan hak rakyat dalam perbahasan Parlimen, bukan polemik jawatan.
Ujarnya, soal kepimpinan boleh dimuktamadkan secara teratur selepas selesai `pertempuran’ di Dewan Rakyat.
Tambah beliau, Pemuda Pas memberi kepercayaan penuh kepada kepimpinan Pas dan pengurusan PN yang baharu untuk meneliti dan memutuskan perkara itu secara matang demi kestabilan gabungan.
“Dalam saat genting, rakyat mesti diutamakan. Jawatan bukan keutamaan, amanah rakyat adalah segalanya,” katanya. – MalaysiaGazette
















