Lim Kenn dilantik Ketua Pembangunan Saluran Bakat BAM. Foto FB BAM.

KUALA LUMPUR – Persatuan Badminton Malaysia (BAM) melantik bekas pemain remaja kebangsaan, Lim Kenn sebagai Ketua Pembangunan Saluran Bakat berkuat kuasa 1 Mac ini dalam usaha memperkukuh struktur pembangunan akar umbi.

Pelantikan itu dilihat langkah strategik bagi memperkemaskan penyelarasan antara Persatuan Badminton Negeri dan badan induk kebangsaan sekali gus memastikan hala tuju pembangunan pemain lebih tersusun dan selari dengan standard serta arah prestasi skuad elit negara.

Menerusi peranan baharunya, Kenn akan memantau pembangunan di peringkat negeri serta menyelia keseluruhan struktur laluan bakat BAM termasuk memastikan program negeri bergerak seiring dengan rangka kerja latihan kebangsaan.

Pengerusi Jawatankuasa Prestasi BAM, Datuk Seri Dr Lee Chong Wei berkata, langkah penyelarasan itu penting bagi memastikan setiap negeri bergerak seiring dengan arah teknikal dan prestasi yang ditetapkan di peringkat kebangsaan.

“BAM akan menjalankan pemantauan berkala setiap dua atau tiga bulan dengan menghantar jurulatih ke negeri-negeri untuk menilai perkembangan pemain, memberi panduan tambahan kepada jurulatih negeri dan mengenal pasti bakat baharu yang berpotensi tinggi.

“Bagi saya, Persatuan Badminton Negeri memainkan peranan sangat penting dalam melahirkan pemain yang akan diserap ke dalam skuad kebangsaan setiap tahun. Oleh itu, kekuatan di peringkat akar umbi adalah asas kejayaan Malaysia di pentas antarabangsa,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast