KUALA LUMPUR – Idea lama bahawa Barisan Nasional (BN) mesti bertanding separuh daripada jumlah kerusi Parlimen sudah tidak lagi relevan.
Menurut Bendahari UMNO Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak, formula itu lahir daripada era politik dominasi yang berbeza dengan keadaan hari ini.
Sebaliknya, bekas Ketua Menteri Sabah itu berkata, politik hari ini berasaskan gabungan, rundingan dan kerjasama strategik.
Tambah beliau, kekuatan sesebuah parti bukan diukur melalui jumlah kerusi yang ditandingi, tetapi keupayaan membentuk kerajaan yang stabil.
“Pengundi kini mahukan dasar yang jelas, hala tuju ekonomi yang meyakinkan, integriti dan penyelesaian praktikal.
“Pendekatan terlalu ideologikal atau konfrontasi sudah tidak lagi menjadi pilihan utama,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir semalam yang menegaskan gabungan parti itu memerlukan penjenamaan semula supaya tampil lebih progresif dan inklusif, selari aspirasi rakyat masa kini tanpa meninggalkan asas perjuangan serta nilai teras gabungan.
Sementara itu, Salleh menyifatkan penekanan Zambry terhadap penjenamaan semula BN tersebut sebagai tepat pada masanya dan menunjukkan kesedaran bahawa landskap politik telah berubah.
Ujarnya, penjenamaan tidak boleh bersifat kosmetik semata-mata, sebaliknya mesti mencerminkan perubahan cara berfikir, strategi dan budaya politik.
Dalam masa sama, tambah beliau, pembaharuan BN mesti menumpukan kepada kredibiliti, kejelasan dasar dan kemampuan bekerjasama.
“Pendekatan bergerak sendirian bukan strategi yang sesuai dalam suasana politik semasa,” katanya.
Tambah beliau, penjenamaan sebenar bermaksud beralih daripada simbol kepada substansi, daripada mengejar angka kepada memberi hasil. – MalaysiaGazette
















