Ketua Pemuda PPP, Sathiah Sudakaran

KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda Parti Progresif Penduduk Malaysia (PPP), Sathiah Sudakaran menggesa Kementerian Luar Negeri mengambil tindakan segera membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas di Asia Barat susulan tercetusnya peperangan pada Sabtu lalu.

Beliau berkata, konflik yang semakin memuncak di rantau itu menimbulkan kebimbangan serius terhadap aspek keselamatan dan kebajikan rakyat Malaysia termasuk pelajar, pekerja, jemaah umrah serta pelancong yang berada di kawasan terjejas.

“Dalam situasi krisis antarabangsa seperti ini, tanggungjawab utama kerajaan adalah melindungi rakyatnya di luar negara tanpa sebarang kelewatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, Kementerian Luar Negeri perlu segera mengaktifkan langkah kecemasan termasuk operasi pemindahan dan penghantaran pulang dengan kerjasama agensi antarabangsa serta negara jiran yang berkaitan.

Beliau turut mencadangkan supaya satu pasukan petugas khas diwujudkan bagi menyelaras respons krisis, termasuk menyediakan talian hotline 24 jam untuk membantu keluarga mangsa yang terkesan di Malaysia.

“Sangat penting untuk memastikan komunikasi yang berterusan dan jelas antara kedutaan serta pejabat konsulat Malaysia di rantau berkenaan dengan rakyat kita di sana,” ujarnya.

Tambah beliau, ketelusan, tindakan pantas dan penglibatan diplomatik yang tersusun amat kritikal ketika ini memandangkan keluarga mangsa berada dalam keadaan cemas dan tidak menentu.

“Maklumat yang jelas serta tindakan yang dapat dilihat akan memberi keyakinan dan kelegaan kepada keluarga yang sedang menunggu perkembangan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau menegaskan Pemuda PPP bersedia membantu dalam sebarang usaha penyelarasan kemanusiaan termasuk membantu keluarga mendapatkan maklumat mengenai ahli keluarga mereka yang berada di kawasan terjejas.

“Keselamatan dan kebajikan rakyat Malaysia mesti mengatasi segala pertimbangan politik,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast