JDT menundukkan Sanfrecce Hiroshima dalam aksi pertama pusingan 16 Zon Timur ACLE di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam tadi.

ISKANDAR PUTERI – Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Munoz mendakwa mereka mampu menang dengan jaringan lebih besar berdepan Sanfrecce Hiroshima di Stadium Sultan Ibrahim di sini malam tadi.

Menerusi aksi pertama pusingan 16 Zon Timur Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) itu, beliau berkata, JDT hanya menurunkan 10 pemain dan menyaksikan sentuhan penyudah yang disifatkan ‘tumpul’.

Bagaimanapun pengendali kelahiran Sepanyol itu memuji persembahan anak buahnya hingga meraih kedudukan 3-1 dalam perlawanan malam tadi.

Xisco Munoz mengingatkan pemain agar tidak terlalu gembira kerana tugas mereka masih belum selesai kerana perlu mengharungi tempoh 90 minit di Stadium Bolasepak Hiroshima, Rabu ini.

“Kemenangan di laman sendiri ini amat bermakna buat kami setelah pemain mempamer corak permainan berintensiti tinggi dan memukau mengikut taktikal yang telah direncanakan.

“Kita boleh menang dengan jaringan yang lebih besar namun peluang keemasan itu tidak disudahkan dengan baik oleh Nacho (Mendez) dan Joao (Figueiredo) setelah percubaan dilakukan sekadar menggegar tiang dan palang gol lawan.

“Apapun, kami tidak boleh terlalu gembira kerana Sanfrecce berjaya mengurangkan defisit gol dan pastinya mereka akan lebih berwaspada pada aksi timbal balik di Hiroshima, minggu depan,” katanya dalam sidang akhbar selepas perlawanan.

Pada perlawanan itu, Ager Aketxe, Bergson Da Silva dan Marcos Guilherme masing-masing menjaringkan satu gol dan Sanfrecce Hiroshima berjaya merapatkan defisit gol hasil jaringan sendiri Nene pada penghujung permainan.

Menurut Munoz, barisan benteng pertahanan yang ditunjangi Eddy Israfilov cukup berkesan apabila merantai pasukan lawan daripada melakukan serangan berbahaya ke kubu JDT.

“Walaupun ada beberapa detik cemas yang dihasilkan pasukan lawan termasuk dalam situasi bola mati namun benteng pertahanan JDT tangkas mengeluarkan bola dari zon bahaya itu.

“Kita akan berusaha mengekalkan momentum permainan ini menjelang aksi kedua nanti dan akan lebih berhati-hati dan tidak leka sehingga membenarkan lawan mencipta jaringan,” ujarnya.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast