ISKANDAR PUTERI – Pengendali Sanfrecce Hiroshima, Bartosch Gaul memaklumkan bermain dengan 10 pemain menyukarkan perancangannya hingga tewas 1-3 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) malam tadi.
Namun kata beliau, anak buahnya yang bermain pada aksi pertama pusingan 16 Zon Timur Liga Juara-juara Asia Elit (ACLE) itu tetap memberikan tentangan sengit.
Jelasnya, ini dapat dilihat terutama dalam tempoh 65 minit permainan selepas Kim Jusung dilayangkan kad merah kerana mengasari Nene.
“Bermain dengan kekurangan seorang pemain ketika berdepan pasukan lawan yang dibarisi ramai pemain berkualiti bukanlah tugas mudah. Apa-apa pun, saya berpuas hati dengan aksi diperagakan pemain.
“Pemain berdepan dengan pelbagai isu sebelum perlawanan seperti masa penerbangan yang panjang, cuaca panas dan kering serta tidak mendapat tidur yang berkualiti apabila dikejutkan dengan dentuman bunga api di luar hotel.
“Ia menyebabkan perlawanan ini sukar buat kami. Bagaimanapun, pemain telah melakukan tugas dengan baik malah hampir menjaringkan gol kedua perlawanan, saya bangga dengan apa mereka pamerkan,” katanya dalam sidang akhbar selepas perlawanan.
Pengendali kelahiran Jerman itu percaya peluang untuk Sanfrecce Hiroshima untuk mara ke pusingan suku akhir ACLE Masih hidup setelah memperoleh jaringan di tempat lawan itu.
Katanya, kemenangan 2-0 di tempat sendiri pada 11 Mac ini akan membolehkan mereka menyamakan kedudukan dan mengheret JDT ke aksi tambahan masa.
“Segalanya boleh terjadi dalam bola sepak, dua gol juga boleh terhasil dengan mudah dan mengubah segalanya. Jadi, penting buat pasukan untuk kekal positif pada aksi timbal balik nanti.
“Pada aksi itu, adalah penting buat kami untuk mendapat gol pembukaan pada awal permainan sekali gus memberi tekanan kepada JDT,” ujarnya.- MalaysiaGazette
Caption gambar: Sanfrecce Hiroshima tewas kepada JDT 1-3 dalam aksi pertama pusingan 16 Zon Timur ACLE di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam tadi.















