KUALA LUMPUR – Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) menyifatkan penstriman langsung perbicaraan kes rasuah di peringkat Mahkamah Rayuan bagi tontonan umum sebagai satu reformasi penting dalam usaha memerangi rasuah secara lebih terbuka dan bertanggungjawab.
Presidennya, Jais Abdul Karim berkata, inisiatif itu mencerminkan kesungguhan kerajaan dalam memperkukuh ketelusan institusi serta meningkatkan keyakinan rakyat terhadap sistem kehakiman negara.
Menurutnya, kes-kes rasuah berprofil tinggi sering menjadi perhatian masyarakat, namun maklumat yang diperoleh oleh orang ramai kebanyakannya datang daripada laporan media atau perbincangan di media sosial.
Situasi itu, ujar beliau, kadang-kala tidak memberikan gambaran menyeluruh tentang proses perbicaraan sebenar.
“Penstriman langsung akan membolehkan rakyat melihat sendiri bagaimana proses keadilan dijalankan, termasuk hujah pihak pendakwaan, pembelaan serta pertimbangan hakim berdasarkan fakta dan undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman berkata, Dewan Rakyat bersetuju untuk penstriman langsung perbicaraan rasuah pada peringkat Mahkamah Rayuan bagi tontonan umum.
Menurut Azalina, penstriman langsung itu bukan saja mencerminkan kesungguhan kerajaan dalam membanteras rasuah, bahkan meningkatkan keyakinan orang ramai terhadap sistem kehakiman negara.
Malah, inisiatif itu turut mendapat sokongan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki yang menyifatkannya bukan sahaja menunjukkan keterbukaan kerajaan, bahkan untuk mengelakkan berlakunya insiden salah lapor.
Sementara itu, Jais menambah, MCW juga berpandangan inisiatif itu berpotensi mengurangkan manipulasi fakta oleh pihak tidak bertanggungjawab yang cuba membina persepsi tertentu melalui petikan atau potongan maklumat di luar konteks sebenar prosiding mahkamah.
Dalam masa sama, ujarnya, ia juga dapat menjadi satu bentuk pendidikan kepada masyarakat tentang bagaimana sistem keadilan berfungsi serta standard pembuktian yang diperlukan dalam sesuatu kes rasuah.
Bagaimanapun, tambah beliau, MCW turut mencadangkan supaya pelaksanaan penstriman itu disertai dengan garis panduan yang jelas dan teliti.
“Antaranya termasuk penggunaan platform rasmi badan kehakiman bagi memastikan ketulenan siaran, kawalan terhadap penyuntingan atau penyebaran semula rakaman prosiding, serta perlindungan terhadap saksi dan pemberi maklumat yang mungkin terlibat dalam sesuatu kes,” katanya.- MalaysiaGazette
















