PUTRAJAYA – Kemudahan TikTok Shop Live Hub akan diperluas ke lebih banyak negeri bagi membantu usahawan tempatan memanfaatkan platform digital untuk memasarkan produk mereka secara lebih berkesan.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong berkata, ketika ini terdapat empat Live Hub yang beroperasi iaitu di Kuala Lumpur, Sabah, Kelantan dan Johor.
Menurut beliau, pihaknya merancang menambah kemudahan itu tahun ini termasuk di Pulau Pinang dan Kuantan, Pahang bagi memudahkan lebih ramai usahawan memanfaatkan platform digital tanpa perlu ke Kuala Lumpur.
“Kita mahu setiap negeri sekurang-kurangnya mempunyai satu Live Hub supaya usahawan dapat menggunakan kemudahan ini dengan lebih mudah,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran TikTok Shop Bazar Raya 2026 di sini, hari ini.
Beliau berkata, kemudahan tersebut menyediakan studio siaran langsung, peralatan digital, latihan serta bimbingan kepada usahawan untuk memasarkan produk secara dalam talian.
Tambahnya, platform TikTok Shop juga telah melatih hampir 200,000 usahawan setakat ini, selain mencatat nilai jualan mencecah RM25 juta melalui pelbagai program pembangunan perniagaan. – MalaysiaGazette
















