KUALA LUMPUR – Kenyataan bahawa rumah besar UMNO sentiasa terbuka kepada ahli yang pernah digantung atau dipecat untuk kembali bersama perjuangan membawa satu mesej yang lebih mendalam daripada sekadar soal keahlian.
Exco Wanita UMNO, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid berkata, ia adalah refleksi bahawa perjuangan tidak seharusnya terperangkap dalam dendam politik yang tidak berkesudahan.
Menurutnya, politik yang matang memerlukan keberanian untuk memaafkan, dan lebih penting keberanian untuk memperbaiki kesilapan masa lalu.
Namun, jelas beliau, pintu yang dibuka itu juga bukan sekadar simbolik, sebaliknya menuntut satu kejujuran daripada kedua-dua pihak.
“Mereka yang ingin kembali perlu datang dengan niat yang benar untuk memperkukuh perjuangan, bukan sekadar mencari ruang apabila keadaan politik berubah.
“Penyatuan tidak bermakna melupakan prinsip, tetapi mengingatkan bahawa matlamat perjuangan lebih besar daripada ego peribadi atau episod perbalahan yang pernah berlaku,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau semalam.
Nurulhidayah yang juga Ketua Penerangan UMNO Bahagian Bagan Datuk menambah, UMNO sebagai sebuah parti yang telah lama membentuk landskap politik negara tidak boleh terus bergerak dalam keadaan terpecah-pecah.
Ujarnya, cabaran politik hari ini jauh lebih kompleks apabila pengundi muda semakin kritikal dan landskap politik semakin terbuka.
Tambahnya, rakyat juga menilai bukan sekadar siapa yang paling lantang bersuara, tetapi siapa yang paling mampu membawa kestabilan dan masa depan yang lebih baik.
“Maka dalam konteks ini, membuka pintu kepada mereka yang ingin kembali bukanlah tanda kelemahan.
“Sebaliknya ia adalah tanda keyakinan bahawa perjuangan ini cukup besar untuk menampung perbezaan, cukup matang untuk mengubati perpecahan, dan cukup kuat untuk bergerak ke hadapan sebagai satu keluarga politik yang lebih bersatu,” katanya.
Pada akhirnya, tambah beliau, sejarah akan menilai bukan siapa yang paling lama bersengketa, tetapi siapa yang berani memilih jalan penyatuan demi masa depan perjuangan yang lebih besar daripada diri sendiri.
Semalam, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, parti itu membuka pintu penyatuan tanpa syarat kepada mana-mana bekas ahli yang pernah dipecat atau digantung keahlian untuk kembali bersama.
Katanya, sempena keberkatan bulan Ramadan, UMNO melihat tempoh ini sebagai waktu terbaik untuk mempertautkan semula tali perjuangan dalam kalangan ahlinya. – MalaysiaGazette
















