lelaki warga asing berusia lingkungan 40-an itu turut mengaku terlibat dalam kegiatan penagihan dadah. - Foto IPD Tawau

KUALA LUMPUR – Cubaan seorang lelaki untuk melarikan diri ketika ditahan polis gagal, apabila dia berjaya diberkas di Kampung Melati Burut, di Tawau, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, kejadian kira-kira pukul 11.15 malam itu berlaku ketika anggota dari Balai Polis Bombalai menjalankan rondaan cegah jenayah sebelum terserempak dengan seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan di tepi jalan.

“Ketika ditahan untuk pemeriksaan, suspek cuba melarikan diri namun berjaya ditahan selepas berlaku sedikit pergelutan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut menemui empat paket plastik lutsinar pelbagai saiz yang mengandungi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu dengan anggaran berat kasar 1.20 gram.

Hasil soal siasat awal mendapati lelaki warga asing berusia lingkungan 40-an itu turut mengaku terlibat dalam kegiatan penagihan dadah.

“Suspek bersama barang kes kemudian dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau untuk tindakan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, ujian saringan awal air kencing yang dijalankan ke atas suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.

Kes disiasat mengikut Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah serta Seksyen 15(1)(a) akta sama kerana menggunakan dadah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast