Syahredzan Johan.

KUALA LUMPUR — Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan tampil dengan nada tegas menggesa tindakan segera diambil terhadap individu yang didakwa menghina simbol suci agama Hindu, ‘Trisula’, dalam satu insiden yang mencetuskan kemarahan masyarakat.

Beliau menyifatkan perbuatan itu sebagai melampau dan tidak boleh dikompromi dalam sebuah negara majmuk seperti Malaysia, apatah lagi ketika suhu hubungan antara kaum dilihat sensitif.

“Saya memandang serius insiden ini dan mengutuk keras tindakan yang melampau ini, sama seperti kecaman saya terhadap penghinaan ke atas kitab suci Al-Quran bulan lepas,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurut Syahredzan yang juga Naib Pengerusi Kebangsaan DAP, insiden berkenaan telah menimbulkan kemarahan dalam kalangan penganut Hindu sehingga beberapa laporan polis dibuat terhadap individu terbabit.

Tegas beliau, sebarang perbuatan yang boleh mencetuskan ketegangan agama dan kaum mesti ditangani secara serius tanpa mengira latar belakang atau sentimen politik.

“Apa-apa perbuatan yang boleh mencetuskan ketegangan kaum dan agama harus dielakkan, dan sebarang hinaan dan provokasi agama, tidak kira agama apa sekalipun, wajar diambil tindakan tegas oleh pihak berkuasa.

“Isu penggunaan tanah dan rumah ibadat yang dibina tidak mengikut peraturan tidak sama sekali mewajarkan tindakan seperti ini,” tegasnya.

Beliau turut memberi amaran bahawa kegagalan pihak berkuasa bertindak pantas boleh menghakis keyakinan rakyat dan membuka ruang kepada tindakan luar batas undang-undang.

“Jika tidak, keyakinan orang ramai ke atas pihak berkuasa akan terhakis dan ada pihak yang mengambil tindakan sendiri (take the law into their own hands).

“Kita tidak mahu negara kita terjerumus dalam kancah huru-hara dan kacau-bilau disebabkan oleh pihak-pihak tertentu,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, Syahredzan menyeru kerajaan termasuk Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Kementerian Belia dan Sukan serta Kementerian Perpaduan supaya mempergiat usaha meredakan ketegangan menerusi dialog antara agama.

“Saya juga mengulangi seruan supaya suatu perjumpaan diadakan di kalangan wakil-wakil agama untuk meredakan ketegangan yang tercetus mutakhir ini,” ujarnya.

Beliau menegaskan, isu ini tidak boleh dipandang ringan kerana api kebencian jika dibiarkan boleh merebak dan merosakkan keharmonian yang dibina sekian lama.

“Jangan biarkan api kemarahan dan kebencian membakar negara. Ini tanggungjawab kita bersama,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan aktivis tanah, Tamim Dahri Abdul Razak sekali lagi mencetuskan kontroversi selepas tular satu klip video yang didakwa memaparkan individu memijak ‘Trisula’ atau soolam di lokasi tidak dikenal pasti, sekali gus mengundang gelombang laporan polis dan kemarahan masyarakat Hindu. — MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.