Foto: Sumber SPRM

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan lima akaun syarikat dan lima akaun perbankan milik individu dianggarkan kira-kira RM4 juta susulan siasatan terhadap kes penyelewengan tanah melibatkan seorang pengarah syarikat.

Menurut sumber, siasatan yang dijalankan SPRM Selangor bermula sejak 9 Mac lalu itu turut membekukan dua akaun unit amanah bernilai RM2.6 juta dan beberapa akaun simpanan syarikat serta individu berjumlah kira-kira RM1.4 juta.

“Pada masa yang sama, siasatan SPRM kini menjurus kepada dakwaan salah guna kuasa dan penipuan,” katanya.

Menurutnya, setakat ini, seramai 24 orang saksi telah diambil keterangan bagi membantu siasatan kes itu.

Tambahnya, SPRM juga masih mengesan saksi-saksi yang terlibat di dalam kes terbabit bagi tujuan rakaman percakapan.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Mohd Azwan Ramli ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

Semalam, SPRM Selangor menahan seorang pengarah syarikat kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM100,000 daripada sebuah syarikat pemaju hartanah sebagai balasan menyerahkan tanah milik bekas pekerja-pekerja sebuah ladang di negeri itu bagi tujuan pembangunan komersial.

Perintah reman selama lima hari sehingga 16 Mac terhadap suspek itu dikeluarkan Majistret Mohamad Suffian Jaafar selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Shah Alam, Selangor.

Menurut sumber, suspek yang merupakan pengarah sebuah syarikat dipercayai melakukan perbuatan tersebut antara tahun 2020 hingga 2025 apabila menyerahkan tanah milik 136 bekas pekerja sebuah ladang di Hulu Selangor tanpa pengetahuan dan kebenaran mereka kepada sebuah syarikat pemaju.

Suspek yang juga merupakan pemegang amanah ke atas tanah seluas kira-kira 3.2 hektar (lapan ekar) itu disyaki menerima wang rasuah berjumlah sekitar RM50,000 hingga RM100,000 beberapa kali dalam tempoh lima tahun sebagai balasan membantu menyerahkan tanah berkenaan bagi tujuan pembangunan komersial bernilai kira-kira RM4 juta. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast