ISKANDAR PUTERI – Dua lelaki warga Indonesia dan seorang lelaki tempatan ditahan kerana disyaki menjadi tekong darat atau transporter bagi menyeludup migran ke negara ini dalam dua serbuan sekitar Tanjung Kupang di sini, 2 Mac lalu.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, mereka berjaya ditahan ketika polis menjalankan pemantauan kegiatan penyeludupan warga asing di kawasan berkenaan sebelum serbuan dilakukan dalam Ops Pintas.
Beliau memberitahu, serbuan pertama dibuat antara pukul 1.30 hingga 2.30 petang di sebuah rumah manakala serbuan kedua dibuat pukul 6.30 hingga 7 petang di sebuah apartment.
“Hasil kedua-dua serbuan, polis menahan dua lelaki warga Indonesia dan seorang lelaki tempatan dipercayai tekong darat atau transporter.
“Selain itu, dalam serbuan pertama, dua lelaki warga Indonesia yang berperanan sebagai penjaga rumah penampungan turut ditahan, manakala dalam serbuan kedua, seorang wanita warga Indonesia disyaki pembantu kepada tekong darat ditahan smaa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut beliau, dalam dua siri tangkapan itu, polis turut menahan sebelas warga asing iaitu enam lelaki dan lima wanita juga warga Indonesia.
Katanya, polis turut membuat rampasan melibatkan 11 telefon bimbit pelbagai jenama, dua kereta dan wang tunai RM21,800.
“Semua tangkapan warga Indonesia iaitu 10 lelaki dan enam wanita berusia antara 21 hingga 60 tahun itu tidak mempunyai dokumen perjalanan diri yang sah.
“Hasil saringan awal air kencing mendapati semua tangkapan negatif dadah,” katanya.
Kumarasan berkata, semua migran terbabit ditahan di bawah Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 selama 14 hari sehingga Isnin depan.
Katanya, enam lagi yang berperanan sebagai tekong darat, penjaga rumah penampungan dan pembantu tekong darat ditahan di bawah Seksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) selama 28 hari sehingga 30 Mac ini.
Ujarnya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 26A Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 kerana melakukan penyeludupan orang atau migran serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana masuk dan tinggal di Malaysia tanpa pas atau permit yang sah.
Pada masa sama, Kumarasan berkata, pihaknya akan terus komited dalam usaha membanteras jenayah penyeludupan migran dan memberi amaran untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang terlibat.
“Masyarakat juga dinasihatkan supaya konsisten menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti-aktiviti seumpama ini supaya ketenteraman awam dan keselamatan negara akan terus terpelihara,” katanya.- MalaysiaGazette















