KUALA LUMPUR – Pelakon Amyza Aznan terharu dengan sokongan orang ramai yang menunjukkan kasih sayang terhadap anaknya, Allahyarham Andre Mikhail, menerusi pelbagai perbuatan yang menyentuh hati.
Amyza, 50, berkata, dia juga terkejut apabila ada individu yang sanggup mewakafkan wang bagi tujuan ibadah badal umrah buat anaknya itu.
“Andre Mikhail, apa amalan kamu? Ramai yang sayang dan mendoakan.
“Daripada orang yang kenal sehingga orang yang mummy tidak pernah kenal telah mewakafkan umrah buat Andre Mikhail,” katanya berkongsi perkara itu menerusi satu hantaran video yang dimuat naik di aplikasi TikTok.
Dalam video berkenaan, Amyza dilihat tidak dapat menahan sebak memeluk seorang wanita yang mewakafkan sekotak buku surah Yasin atas nama Andre.
Hatinya sebagai ibu juga tersentuh apabila orang yang tidak dikenali berbesar hati melakukan kebaikan buat anaknya itu.
“Hari ini insan yang tak pernah mummy kenal mewakafkan surah Yasin atas nama awak,” luahnya.
Untuk rekod, Andre, 20, menghembuskan nafas terakhir pada 23 Februari lalu di Hospital Kuala Lumpur selepas setahun bertarung dengan kanser paru-paru tahap tiga. – MalaysiaGazette
















