Contoh kad digital

Oleh: Rasfan Abu Bakar

PERAYAAN Hari Raya Aidilfitri merupakan antara perayaan yang paling bermakna bagi masyarakat Islam di seluruh dunia. Di negara seperti Malaysia, tradisi menyampaikan ucapan hari raya telah lama menjadi sebahagian daripada budaya sosial masyarakat. Salah satu medium yang paling popular sejak dahulu ialah kad ucapan hari raya.

Kad ini bukan sekadar alat komunikasi tetapi juga simbol ingatan dan penghargaan antara ahli keluarga, sahabat serta rakan sekerja. Namun, seiring dengan perkembangan teknologi semasa, bentuk penyampaian ucapan hari raya turut mengalami perubahan yang ketara. Jika dahulu kad ucapan dihantar melalui pos dalam bentuk fizikal kini ia telah digantikan oleh kad raya elektronik dan digital yang dihantar melalui platform media sosial serta pelbagai aplikasi komunikasi.

Pada era sebelum perkembangan internet dan telefon pintar, kad ucapan hari raya tradisional memainkan peranan penting dalam menyampaikan salam Aidilfitri kepada orang yang berada jauh. Kad ini biasanya dijual di kedai buku, pasar raya atau gerai khas menjelang musim perayaan.

Reka bentuknya sering menampilkan unsur-unsur budaya dan simbolik yang berkaitan dengan hari raya seperti gambar masjid, bulan sabit, ketupat, pelita dan suasana kampung. Warna-warna ceria seperti hijau, emas dan biru sering digunakan bagi menggambarkan kemeriahan perayaan. Kad tersebut kemudiannya ditulis dengan tangan oleh pengirim sebelum dimasukkan ke dalam sampul dan dihantar melalui perkhidmatan pos.

Bagi generasi terdahulu, menerima kad ucapan melalui pos memberikan pengalaman yang istimewa. Kad tersebut bukan sahaja membawa mesej ucapan tetapi juga mencerminkan usaha dan keikhlasan pengirim. Tulisan tangan, pilihan kata dan
kadangkala lukisan kecil pada kad menjadikannya unik dan bersifat peribadi.

Malah, kad tersebut disimpan sebagai kenangan kerana ia mengandungi mesej yang bermakna daripada orang tersayang. Dalam konteks ini, kad ucapan berfungsi sebagai “pengganti diri” pengirim yang tidak dapat hadir secara fizikal untuk mengucapkan selamat hari raya.

Namun begitu, menjelang akhir abad ke-20 dan awal abad ke-21, perkembangan teknologi digital telah mengubah cara manusia berkomunikasi. Kemunculan emel, laman web dan kemudiannya media sosial telah membuka ruang kepada bentuk ucapan yang lebih pantas dan mudah.

Kad raya elektronik atau e-card mula diperkenalkan sebagai alternatif kepada kad fizikal. Kad ini biasanya dihantar melalui emel atau platform media sosial dimana pengguna boleh memilih reka bentuk kad dan menambah ucapan sendiri sebelum menghantarnya kepada sesiapa sahaja.

Transformasi ini menjadi lebih ketara dengan kemunculan telefon pintar dan aplikasi komunikasi seperti WhatsApp, Facebook dan Instagram. Melalui platform ini, kad raya digital boleh dihantar secara segera kepada ramai penerima pada masa serentak. Kad tersebut tidak lagi terhad kepada imej statik tetapi mengandungi animasi, karikatur, muzik latar, video pendek serta elemen grafik yang lebih kreatif. Dengan hanya beberapa sentuhan pada skrin telefon, seseorang boleh menyampaikan ucapan hari raya kepada rakan dan keluarga yang berada jauh di perantauan.

Selain elemen visual, ucapan yang ditulis dalam kad Raya juga memainkan peranan penting. Ucapan tersebut biasanya mengandungi kata-kata seperti “Selamat Hari Raya Aidilfitri”, “Maaf Zahir dan Batin”, pantun serta doa untuk kesejahteraan dan kebahagiaan penerima.

Dalam konteks budaya Melayu, frasa “maaf zahir dan batin” mempunyai makna yang mendalam kerana ia melambangkan permohonan maaf secara menyeluruh sama ada secara fizikal mahupun emosi. Oleh itu, walaupun kad raya digital dihantar secara pantas melalui teknologi, kandungan ucapannya masih mengekalkan nilai tradisi dan budaya yang diwarisi sejak dahulu.

Walau bagaimanapun, perubahan daripada kad fizikal kepada kad digital juga menimbulkan beberapa persoalan. Ada yang berpendapat kad digital kurang nilai sentimental kerana ia boleh dihantar secara pukal tanpa usaha yang besar. Berbeza dengan kad tradisional yang memerlukan masa untuk memilih, menulis dan menghantar melalui pos, kad digital pula dianggap terlalu mudah dan kurang bersifat peribadi. Namun begitu, bagi generasi muda yang hidup dalam era teknologi, kad digital dianggap lebih praktikal, cepat dan mesra alam kerana tidak melibatkan penggunaan kertas.

Secara keseluruhannya, evolusi kad raya daripada bentuk tradisional kepada bentuk digital mencerminkan perubahan dalam cara manusia berkomunikasi. Walaupun medium penyampaian telah berubah tujuan utamanya tetap sama iaitu menyampaikan
ucapan, ingatan dan rasa kasih sayang kepada orang lain. Tradisi ini menunjukkan walaupun teknologi sentiasa berkembang nilai silaturahim dan budaya saling bermaafan sempena hari raya tetap kekal sebagai teras dalam masyarakat.

Penulis merupakan pensyarah kanan di Akademi Seni Budaya & Warisan Kebangsaan (ASWARA).

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast