KUALA LUMPUR – Penasihat DAP, Lim Guan Eng mempersoalkan sama ada bahagian Malaysia daripada AS$166 bilion tarif yang dikutip secara tidak sah oleh kerajaan Amerika Syarikat (AS) sejak tahun lalu, dipulangkan kepada syarikat-syarikat Malaysia.
Menurut beliau, ia susulan perjanjian perdagangan timbal balik (ART) yang ditandatangani antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) tahun lalu kini terbatal seperti dimaklumkan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Katanya, Presiden AS, Donald Trump kemudiannya menyatakan akan mengenakan tarif global sebanyak 15 peratus bagi menggantikan tarif yang dibatalkan oleh mahkamah, selepas sebelum ini mengumumkan levi 10 peratus ke atas semua barangan yang memasuki AS.
Jelasnya, sama ada tarif baharu itu mematuhi keperluan undang-undang untuk memberikan alasan yang sah seperti yang ditetapkan dalam keputusan Mahkamah Agung, masih belum dapat dipastikan.
“Apa yang menarik ialah nasib kira-kira AS$166 bilion tarif yang telah dikutip sepanjang tahun lalu di bawah Akta Kuasa Ekonomi Kecemasan Antarabangsa (IEEPA), yang diputuskan sebagai tidak sah oleh Mahkamah Agung pada Februari 2026.
“Mahkamah juga memutuskan bahawa kerajaan mesti memberikan bayaran balik bukan sahaja bagi semua tarif yang dikutip secara tidak sah, tetapi juga membayar faedah ke atas bayaran tersebut,” katanya dalam satu kenyaatan hari ini.
Menurut Guan Eng yang juga bekas Menteri Kewangan, dengan terbatalnya ART, syarikat-syarikat Malaysia yang telah dipaksa membayar tarif kepada AS sejak tahun lalu berhak menuntut bayaran balik serta faedah ke atas pembayaran tarif tersebut.
Sehubungan itu, ujarnya, Kerajaan Malaysia seharusnya menyenaraikan jumlah daripada AS$166 bilion tarif yang telah dibayar oleh syarikat-syarikat Malaysia, dan membantu syarikat-syarikat tersebut menuntut semula bayaran balik tarif serta faedah yang berkaitan.
Semalam Johari berkata, ART kini tidak lagi terpakai susulan keputusan Mahkamah Agung AS membatalkan sebahagian besar langkah tarif menyeluruh diperkenalkan Trump.
Sehubungan itu, beliau memaklumkan, buat masa ini Malaysia hanya dikenakan tarif global sebanyak 10 peratus, berbanding 19 peratus yang diputuskan menerusi ART sebelum ini. – MalaysiaGazette
















