Scott Phillip Galang Woods.

KUALA LUMPUR – Kuching City FC (KCFC) tampil menjelaskan secara rasmi berhubung isu tular membabitkan status pendaftaran pemain mereka, Scott Woods dalam aksi Liga Super Malaysia menentang Penang FC baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutif KCFC, Iswandi Ali Hassan berkata, penjelasan dibuat bagi mengelakkan sebarang spekulasi berpanjangan dalam kalangan penyokong dan pemerhati bola sepak tempatan.

Menurutnya, pihak pengurusan sudah membawa seramai 20 pemain ke Pulau Pinang bagi menghadapi perlawanan berkenaan termasuk Scott Woods manakala Danial Amier tidak bersama pasukan kerana masih menjalani proses pemulihan kecederaan di Kuching.

“Pada hari perlawanan, KCFC menghantar senarai rasmi 20 pemain untuk didaftarkan dengan nama Scott Woods disenaraikan manakala nama Danial Amier tidak dimasukkan dalam senarai berkenaan.

“Bagaimanapun berlaku ralat teknikal apabila senarai pendaftaran rasmi menyaksikan nama Scott Woods tercicir dan digantikan dengan nama Danial Amier yang ketika itu tidak berada bersama pasukan di venue perlawanan,” katanya dalam satu kenyataan di media sosial kelab itu.

Dalam perkembangan sama, Iswandi memaklumkan Scott Woods berada di bangku simpanan sepanjang perlawanan tanpa sebarang teguran daripada pegawai perlawanan walaupun hanya pemain berdaftar dibenarkan berada di kawasan itu.

Malah, pada minit ke-90 permainan, pertukaran pemain dilakukan dengan memasukkan Scott Woods ke dalam padang dan tindakan itu diluluskan tanpa sebarang bantahan atau makluman mengenai isu pendaftaran.

Mengulas insiden itu, Iswandi menegaskan pihak kelab akan terus berpegang kepada prinsip profesionalisme serta sentiasa bersedia berdepan cabaran dalam arena bola sepak negara.

“Kami akan terus memberikan kerjasama penuh kepada Malaysian Football League (MFL) bagi memastikan perkara ini diselesaikan mengikut saluran yang betul dan profesional,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast