Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Harimau Malaya , Rob Friend.

KUALA LUMPUR – Pengurusan skuad kebangsaan menegaskan bahawa keutamaan pihaknya ketika ini adalah untuk menyokong pemain dan kakitangan skuad negara serta memastikan mereka berada dalam keadaan terbaik bagi mewakili Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif Harimau Malaya, Rob Friend berkata, pihaknya tetap memberi tumpuan penuh terhadap aksi terakhir kelayakan Piala Asia 2027 berdepan Vietnam pada 31 Mac ini biarpun Harimau Malaya dihukum Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) yang memusnahkan impian skuad negara ke pusingan akhir kejohanan itu.

Beliau turut memberitahu, saluran perundangan yang sewajarnya sedang diteliti berhubung hukuman dikenakan AFC itu terhadap Harimau Malaya.

“Kami mengambil maklum keputusan yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Tatatertib dan Etika AFC berhubung pemotongan mata. Kami menghormati proses peraturan pertandingan. Pada masa yang sama, perkara ini sedang diteliti melalui saluran perundangan yang sewajarnya.

“Sepanjang tempoh ini, keutamaan kami kekal jelas untuk menyokong pemain dan kakitangan serta memastikan mereka berada dalam keadaan terbaik bagi mewakili Malaysia dengan profesionalisme, perpaduan dan kebanggaan.

“Tumpuan kami kini sepenuhnya terhadap persiapan menghadapi perlawanan akan datang menentang Vietnam di mana pasukan akan beraksi dengan keyakinan, ketahanan dan disiplin yang sama seperti yang ditunjukkan sepanjang tahun 2025.

Kelmarin, Jawatankuasa Tatatertib dan Etika AFC membatalkan keputusan dua aksi kelayakan Piala Asia 2027 membabitkan Malaysia berdepan Nepal dan Vietnam susulan isu pemalsuan dokumen tujuh pemain Harimau Malaya.

Tindakan itu diambil selepas mendapati Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) melanggar Artikel 56 Kod Tatatertib dan Etika AFC kerana menurunkan pemain tidak layak selain Harimau Malaya turut diisytihar kalah dengan jaringan 3-0 pada kedua-dua perlawanan itu.

Selepas ditolak enam mata, Malaysia yang kini tinggal sembilan mata jatuh ke kedudukan kedua Kumpulan F dan lebih perit apabila slot ke pusingan akhir sah menjadi milik Vietnam dengan skuad Naga Emas mengumpul 15 mata dan muncul juara kumpulan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast