KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu menyegerakan pelan mitigasi susulan kenaikan mendadak bahan api diesel yang boleh mencetuskan `kejutan kos’ kepada ekonomi rakyat.
Ahli Parlimen Padang Terap, Nurul Amin Hamid berkata, apabila harga diesel naik secara tiba-tiba tanpa tempoh penyesuaian, seluruh rantaian ekonomi iaitu daripada pengangkutan, bekalan makanan hingga ke harga barang harian akan mengalami tekanan serentak.
Sedangkan, ujarnya, rakyat tidak sempat bersedia dan peniaga tidak sempat menyesuaikan kos yang akhirnya beban dipindahkan terus kepada pengguna.
Tambahnya, kerajaan tidak boleh terus bersandar kepada alasan bahawa kenaikan harga minyak itu semata-mata berpunca daripada konflik antarabangsa seperti perang di Asia Barat.
“Memang benar faktor geopolitik memberi tekanan kepada harga minyak dunia, namun ia bersifat sementara dan tidak boleh dijadikan alasan berterusan untuk membebankan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah beliau, Malaysia masih mempunyai ruang dasar untuk bertindak iaitu melalui subsidi bersasar, kawalan harga dan intervensi fiskal.
Sehubungan itu, ujarnya, kegagalan menyediakan pelan mitigasi yang jelas bukanlah isu global semata-mata, tetapi mencerminkan kelemahan pengurusan dasar domestik.
“Lebih membimbangkan, kerajaan dilihat gagal menyediakan pelan mitigasi yang jelas dan menyeluruh seiring dengan pengumuman kenaikan harga diesel ini.
“Kenaikan dibuat dahulu, tetapi perlindungan kepada rakyat tidak disusun secara serentak, ini adalah kelemahan dasar yang tidak boleh dipandang ringan,” katanya.
Sehubungan itu, Nurul Amin mencadangkan tiga langkah utama bagi menyerap tekanan kos akibat kenaikan mendadak diesel antaranya peluasan segera skim bantuan bersasar.
Katanya, kerajaan perlu memperluaskan liputan bantuan diesel bersasar kepada lebih ramai golongan seperti penoreh, pesawah dan peniaga kecil yang mungkin ada di antara mereka yang tercicir daripada skim sedia ada.
Selain itu, ujarnya, satu mekanisme pemantauan harga barangan yang lebih agresif perlu dilaksanakan bagi mengelakkan manipulasi harga oleh pihak tertentu yang mengambil kesempatan atas kenaikan diesel.
Dalam masa sama, tambah beliau, kerajaan perlu menyediakan insentif tambahan sementara kepada sektor logistik dan pengangkutan bagi menstabilkan kos penghantaran barang, seterusnya mengawal kenaikan harga di peringkat pengguna.
Jelasnya, ia bagi mengelakkan kejutan kos yang akan dipindahkan kepada pengguna.
“Jika tiada tindakan segera diambil, kenaikan ini akan mempercepatkan tekanan kos sara hidup dan memberi kesan domino kepada ekonomi rakyat, khususnya di luar bandar.
“Ini bukan sekadar kenaikan harga, ini adalah kejutan kos yang dipaksakan ke atas rakyat tanpa persediaan dan perlindungan,” katanya. – MalaysiaGazette
















