Ramai rakyat Johor didakwa terpaksa beralih ke sektor gig seperti e-hailing, penghantaran makanan dan perkhidmatan kurier untuk meneruskan kehidupan. Gambar hiasan

JOHOR BAHRU – Satu pasukan khas melibatkan kerajaan Persekutuan dan Negeri Johor perlu ditubuhkan bagi menangani secara menyeluruh isu kehilangan pekerjaan, jumlah pencari kerja dan jurang peluang pekerjaan secara serentak.

Kedua, program latihan semula dan peningkatan kemahiran bagi pekerja Johor mesti dipercepatkan bagi membantu mereka menyesuaikan diri dengan perubahan pasaran kerja.

Manakala, yang ketiga, Kerajaan Johor perlu lebih telus dengan melaporkan pecahan sebenar kategori pencari kerja termasuk graduan baharu, pekerja yang kehilangan pekerjaan serta mereka yang berada dalam sektor pekerjaan berasaskan kontrak jangka pendek atau dilakukan secara bebas atau sektor ekonomi gig.

Timbalan Ketua Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Johor Zainuddin Adan dalam satu kenyataan berkata, tiga cadangan tersebut selepas melihat jurang peluang pekerjaan di negeri ini dan tidak mahu rakyat menjadi mangsa daripada statistik yang dikeluarkan kerajaan Johor.

“Kerajaan Johor mungkin berbangga dengan angka pembangunan dan pertumbuhan ekonomi, namun statistik rasmi sendiri menunjukkan rakyat masih berdepan jurang peluang pekerjaan yang ketara,” katanya.

Beliau berkata, lebih 40,000 pencari kerja di Johor masih belum memperoleh pekerjaan tetap, ramai terpaksa bergantung kepada sektor gig tanpa perlindungan sosial yang mencukupi dan masalah ketidakpadanan kemahiran terus menekan peluang pekerjaan sebenar.

Pejuang Johor menegaskan,  angka statistik semata-mata tidak boleh dijadikan ukuran kejayaan jika realiti rakyat masih terhimpit.

Kerajaan katanya, perlu tampil dengan penyelesaian konkrit bukan sekadar retorik dan alasan, rakyat Johor tidak boleh terus menjadi mangsa kepada kelemahan dasar dan kegagalan perancangan ekonomi kerajaan.

Berdasarkan statistik katanya, Johor mempunyai hampir 1.9 hingga 2.0 juta tenaga kerja aktif pada 2025 hingga 2026 dengan kadar penyertaan sekitar 75 peratus dan kadar pengangguran antara 2.7 hingga 3.0 peratus.

“Ini bermakna Johor menyumbang kira-kira 11 hingga 12 peratus daripada keseluruhan tenaga kerja Malaysia yang berjumlah 17.3 juta orang setakat Januari 2026,” ujarnya.

Walaupun kerajaan negeri sering berbangga dengan pembangunan ekonomi dan penambahan peluang pekerjaan, beliau berkata, angka rasmi menunjukkan jurang besar masih wujud dalam pasaran kerja di Johor.

Jelasnya, menurut laporan rasmi Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) melalui sistem Labour Market Exchange (LMX), jumlah kehilangan pekerjaan pada Februari 2026 melonjak kepada 7,512 kes di seluruh negara, meningkat lebih 50 peratus berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya.

Katanya, Johor kekal antara negeri yang mencatatkan angka kehilangan pekerjaan yang tinggi khususnya dalam sektor pembuatan seperti elektronik, automotif dan perabot yang terkesan akibat penyusutan permintaan global.

Selain itu, sektor runcit dan makanan serta minuman (F&B) juga mencatatkan kehilangan pekerjaan akibat penutupan perniagaan dan penyusunan semula operasi.

Punca utama kehilangan pekerjaan di Johor adalah akibat pengurangan tenaga kerja dan penutupan perniagaan, selari dengan trend ekonomi nasional, katanya.

“Data daripada MYFutureJobs pula menunjukkan sekitar 1,280 kes kehilangan pekerjaan direkodkan di Johor pada Februari 2026, manakala penempatan pekerjaan baharu dianggarkan sekitar 1,100 hingga 1,300 orang bagi tempoh yang sama,” katanya.

Namun begitu kata Zainuddin, jumlah pencari kerja berdaftar di Johor masih berada pada tahap tinggi iaitu sekitar 40,000 hingga 45,000 orang.

Angka ini menunjukkan wujudnya jurang yang besar dalam pasaran pekerjaan kerana puluhan ribu rakyat Johor masih belum mendapat pekerjaan walaupun kerajaan mendakwa penempatan pekerjaan baharu hampir menyamai jumlah kehilangan pekerjaan, katanya.

“Realitinya, rakyat Johor berdepan beberapa cabaran besar dalam pasaran kerja. Antaranya ialah masalah ketidakpadanan kemahiran apabila pekerja yang kehilangan pekerjaan dalam sektor kilang atau runcit sukar untuk memasuki sektor baharu tanpa latihan semula yang bersesuaian,” tambah beliau lagi.

Selain itu katanya, ramai rakyat Johor terpaksa beralih ke sektor gig seperti e-hailing, penghantaran makanan dan perkhidmatan kurier untuk meneruskan kehidupan.

Namun sektor berkenaan dakwanya, sering tidak direkodkan secara jelas dalam statistik rasmi.

“Kerajaan negeri juga perlu meneliti dengan lebih teliti kategori pencari kerja kerana daripada 40,000 hingga 45,000 pencari kerja berdaftar tersebut, masih belum jelas berapa ramai terdiri daripada graduan baharu, berapa yang kehilangan pekerjaan, dan berapa yang sebenarnya berada dalam sektor gig atau ekonomi tidak formal,” katanya .

Tambahnya, tanpa penjelasan, angka pembangunan yang sering dibanggakan kerajaan tidak menggambarkan realiti sebenar peluang pekerjaan rakyat Johor.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast