Pencemaran udara berlaku di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Pengerang, Pengerang sehingga memaksa penduduk berpindah.

PENGERANG – Beberapa penduduk di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Pengerang di sini terpaksa berpindah sementara akibat pencemaran udara selepas akibat kebakaran hutan berhampiran sejak dua hari lalu.

Mereka mendakwa, ia kerana asap tebal dan jelebu menyelubungi kawasan perumahan sehingga mengadakan jarak penglihatan selain bimbang dengan keselamatan dan kesihatan

Penduduk, Nor Diana Abdul Aziz, 60, berkata, walaupun semua tingkap rumah ditutup, habuk dan asap masih memasuki kediaman di tingkat satu PPR berkenaan.

“Kami sekeluarga ambil keputusan berpindah sementara ke rumah keluarga di Kampung Tersusun Punggai sejak petang kelmarin.

“Hari pertama kebakaran memang agak teruk, saya takut semput sebab umur pun dah meningkat,” katanya ketika ditemui di rumahnya hari ini.

Nor Diana memberitahu, kejadian kebakaran hutan itu merupakan pengalaman pertama bagi dirinya sepanjang menetap di PPR Seri Pengerang sejak Ogos tahun lalu.

“Rumah di PPR sekarang pun belum penuh didiami penduduk. Anak-anak nasihat tidak pulang ke PPR buat masa ini sehingga keadaan benar-benar pulih.

“Saya harap keadaan pulih sepenuhnya minggu depan supaya kami boleh kembali semula ke PPR,” katanya.

Sementara itu, tinjauan di lokasi mendapati kawasan sekitar PPR berkenaan masih diliputi asap putih selain bau asap yang kuat.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Punggai Pegawai Bomba Tinggi II Ezam Mistorerrodin berkata, kebakaran melibatkan kawasan berhampiran PPR itu yang berkeluasan 10 hektar sudah berjaya dipadamkan kira-kira 50 peratus.

“Kini berbaki sekitar 5.3 hektar belum dipadamkan. Kebakaran melibatkan tanah jenis gambut yang sukar dipadam kerana api berada di bawah permukaan.

“Penggunaan dron turut membantu pasukan bomba mengenal pasti kawasan panas bagi mempercepatkan operasi pemadaman.

“Bagaimanapun, kami berdepan beberapa kekangan termasuk faktor angin kuat, cuaca panas serta keadaan tanah lembut yang menyukarkan pergerakan jentera berat,” katanya ketika ditemui di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Punggai.

Jelas Ezam, helikopter akan digunakan bagi melakukan kaedah water bombing esok bagi mengawal dan memadam kebakaran.

“Helikopter akan membantu memadamkan kebakaran ke kawasan sukar dimasuki anggota. Operasi akan dimulakan di kawasan kebakaran di Lebuhraya Bypass Punggai dahulu yang berbaki 25 hektar belum dipadam daripada 150 hektar yang terbakar sejak enam hari lalu.

“Setelah selesai kita akan fokus sepenuhnya kepada kebakaran hutan belukar berhampiran PPR pula dan dijangka operasi pemadaman ini boleh diselesaikan dalam tempoh tiga hari,” katanya.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast