Oplus_16908288

JOHOR BAHRU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor sedang mengesan dua individu bagi membantu siasatan kes tular pengisian petrol RON95 ke dalam tong plastik melebihi had yang dibenarkan di sebuah stesen minyak sekitar Skudai, baru-baru ini.

Pengarah KPDN Johor, Lilis Saslinda Pornomo berkata, siasatan dijalankan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 selepas video kejadian berkenaan tersebar dalam media sosial.

“KPDN Johor telah menjalankan siasatan lanjut termasuk menjejaki serta mengunjungi alamat terakhir kedua-dua individu terbabit. Bagaimanapun, mereka masih gagal dikesan setakat ini.

“Sehubungan itu, pihak KPDN Johor memohon individu-individu berkenaan supaya segera tampil memberi kerjasama dengan hadir ke Pejabat KPDN Negeri Johor dalam kadar segera bagi membantu siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan untuk menyalurkannya kepada pihak KPDN bagi membantu siasatan.

Pada Isnin lalu, Kementerian Kewangan (MoF) dalam satu kenyataan memberitahu, pihaknya akan mengambil tindakan dengan menyekat kad pengenalan yang telah digunakan dalam transaksi pembelian petrol RON95 itu serta pemilik kenderaan daripada terus menikmati Budi95. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast