Man Wei Chong

KUALA LUMPUR – Pemain beregu lelaki negara Man Wei Chong mahu menumpukan kepada proses pemulihan kecederaan lutut kanan menjelang Kejohanan Badminton Asia (BAC) Ningbo, China awal bulan depan.

Walaupun doktor mengesahkan beliau tidak perlu menjalani pembedahan akibat kecederaan dialami ketika Kejohanan All England 2026 awal bulan ini, Wei Chong berharap kecederaan itu tidak berulang dan menjejaskan penampilannya di Ningbo kelak.

“Sekarang ini paling penting kena jaga keadaan, jaga pemulihan, kuatkan otot,” katanya ketika ditemui selepas sesi latihan skuad badminton kebangsaan di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara di sini hari ini.

Ditanya mengenai persiapannya menjelang kejohanan BAC, beliau mengakui semua berjalan lancar seperti dirancang.

Menurut Wei Chong, pasangannya Tee Kai Wun turut memberi sokongan moral yang sedikit sebanyak membantunya mengekalkan fokus serta keyakinan menjelang kejohanan tersebut.

“Sekarang ada masa satu minggu lagi untuk persiapan BAC, saya pun akan buat sehabis baik di sana.

“Saya rasa pasangan (Tee Kai Wun) saya juga bagus sebab dia boleh faham situasi saya dan banyak bantu saya di gelanggang,” katanya.- BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast