KUALA LUMPUR – Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) membidas sikap sesetengah pihak di Semenanjung yang mempertikaikan harga diesel lebih rendah di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Pengerusinya, Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, naratif kononnya Sabah dan Sarawak menerima “layanan istimewa” adalah tidak tepat dan mengelirukan.
“Tidak wajar sama sekali untuk mempersoalkan harga diesel di Sabah dan Sarawak tanpa memahami konteks sebenar.
“Malah tidak adil untuk menilai dari keselesaan bandar di Semenanjung, tanpa memahami kesukaran sebenar yang dihadapi rakyat di Sabah dan Sarawak setiap hari.
“Sebaliknya, ia hanya satu bentuk penyesuaian dasar berdasarkan realiti geografi, keperluan rakyat serta sumbangan besar kedua-dua wilayah ini kepada ekonomi negara,” katanya menerusi satu kenyataan kepada MalaysiaGazette, hari ini.
Rabu lalu, kerajaan melakukan penyelarasan semula harga runcit produk petroleum, antara lain di mana diesel dijual pada harga RM5.15 seliter bagi Semenanjung, manakala Sabah dan Sarawak masih kekal RM2.15 seliter untuk tempoh 26 Mac hingga 1 April 2026.
Zulkarnain juga berkata, ramai rakyat di Sabah dan Sarawak terpaksa bergantung kepada kenderaan pacuan empat roda (4WD) yang menggunakan diesel sebagai keperluan harian.
“Ini bukan soal pilihan gaya hidup tetapi keperluan untuk bergerak dan meneruskan kehidupan, malah kos sara hidup di dua negeri ini berbeza di mana banyak barang asas dijual lebih mahal berbanding Semenanjung.
“Semua pihak diseru agar berhenti memainkan sentimen sempit dan mula melihat isu ini secara matang, berfakta dan adil.
“Jangan hanya melihat harga di pam, lihat siapa yang menyumbang, dan siapa yang bergantung kepada diesel untuk terus hidup,” katanya.
Menurut Zulkarnain, Sabah dan Sarawak bukan sekadar pengguna subsidi sahaja, bahkan penyumbang utama kepada kekayaan negara.
“Bagi tempoh 2018 hingga 2024, hasil petroleum negara dianggarkan mencecah RM775.2 bilion. Dari jumlah itu, Sarawak menyumbang sekitar RM285.4 bilion, diikuti Semenanjung RM284.8 bilion dan Sabah sekitar RM205 bilion.
“Ini bermakna Sabah dan Sarawak secara keseluruhan menyumbang lebih separuh dari hasil petroleum Malaysia,” katanya.
Jelasnya, kebergantungan rakyat terhadap diesel bukan pilihan, bahkan menjadi nadi kehidupan dan digunakan secara meluas untuk pengangkutan darat, bot serta penjanaan elektrik terutama di kawasan luar bandar dan pedalaman.
“Kebanyakan jalan raya di Sabah masih mencabar di mana sebahagian laluan tidak berada pada tahap memuaskan dan tidak sesuai digunakan kenderaan biasa,” katanya.
Katanya lagi, Sabah dan Sarawak hanya menerima kira-kira lima peratus royalti petroleum, sedangkan Perjanjian Malaysia 1963 menyatakan 40 peratus hasil perlu dikembalikan kepada negeri-negeri berkenaan.
“Realiti ini jelas menunjukkan bahawa Sabah dan Sarawak telah lama menyumbang besar kepada negara, tetapi masih berdepan jurang dalam agihan hasil.
“Tambahan pula, sumber petroleum di Semenanjung semakin berkurangan, manakala penemuan baharu kini lebih tertumpu di Sabah dan Sarawak.
“Ini menjadikan kedua-dua wilayah ini sebagai tulang belakang masa depan industri minyak dan gas negara,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















