Dr Muhamad Akmal Saleh

KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa melihat semua cadangan yang dikemukakan oleh Pemuda UMNO untuk membantu rakyat yang sangat terkesan dengan penyelarasan had kelayakan subsidi petrol BUDI95 daripada 300 liter kepada 200 liter sebulan berkuat kuasa 1 April ini susulan tekanan global akibat konflik Asia Barat.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, beliau mencadangkan agar gaji ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sama ada dari kerajaan mahupun pembangkang dipotong.

Menurutnya, langkah itu supaya mereka sama-sama merasa bagaimana kehidupan yang rakyat rasakan sekarang ini.

“Kita minta rakyat berjimat cermat, sedangkan sebelum subsidi mereka ini dipotong, mereka sudah hidup dalam keadaan berjimat cermat apatah lagi subsidi mereka ini dipotong,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Akmal yang juga ADUN Merlimau itu mengulas kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang menyatakan majoriti rakyat tidak akan terkesan dengan penyelarasan subsidi RON95 apabila sekitar 90 peratus pengguna di negara ini hanya menggunakan kira-kira 100 liter bahan api itu setiap bulan.

Katanya, langkah penyelarasan had kelayakan Budi95 daripada 300 kepada 200 liter sebulan merupakan pendekatan seimbang bagi memastikan bantuan terus dinikmati golongan sasar tanpa menjejaskan kedudukan kewangan negara.

Menurut beliau, dunia kini berdepan tekanan global yang semakin mencabar termasuk lonjakan harga minyak mentah melepasi paras AS$100 setong yang memberi kesan besar kepada banyak negara.

“Di Hong Kong, harga petrol mencecah sekitar RM14 seliter manakala Singapura pula, sekitar RM10 seliter. Inilah realiti yang sedang dihadapi dunia hari ini,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Saifuddin menegaskan, dalam keadaan tersebut, kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil pendirian jelas untuk terus melindungi rakyat.

“Walaupun harga pasaran sebenar RON95 telah mencecah sekitar RM3.87 seliter, kerajaan mengekalkan harga subsidi pada RM1.99 seliter. Ini bukan keputusan mudah, tetapi inilah bukti kepimpinan yang berani membuat pilihan demi kesejahteraan rakyat,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Akmal menegaskan, mungkin bagi sesetengah orang apabila subsidi di potong, jumlah itu sedikit dan tidak terkesan bagi diri mereka

“Tetapi percayalah mungkin sedikit bagi mereka tetapi sangat besar dan terkesan untuk orang lain,” ujarnya sambil menyatakan wujud perbezaan nombor di atas kertas laporan dan realiti rakyat. – MalaysiaGazette

BUDI95: Had subsidi petrol 300 kepada 200 liter mulai April ini

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast