Asyraf Khalid dan Tya Arifin.

KUALA LUMPUR – Usahawan dan personaliti media sosial, Asyraf Khalid mengambil langkah positif untuk menjernihkan hubungannya dengan pelakon popular, Nur Fazura susulan kenyataan yang didakwa menyentuh isu peribadi aktres itu kira-kira dua tahun lalu.

Menerusi perkongsian di media sosial miliknya, beliau memberitahu, pertemuan pada majlis pertunangan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bersama pelakon dan penyanyi, Bella Astillah semalam menjadi titik awal untuk memperbaiki hubungan mereka.

Pada masa sama, Asyraf turut mengakui kesilapannya apabila mencampuri urusan peribadi Fazura melalui perkongsian dalam siaran podcast yang dikendalikannya sebelum ini.

“Pada majlis pertunangan Saddiq dan Bella, saya duduk bertentangan dengan Fazura. Ramai yang tahu, beberapa tahun lalu, saya pernah melakukan kesilapan.

“Ketika Fazura berdepan isu peribadi, saya keluarkan kenyataan yang tidak sepatutnya dan tidak kena pada tempatnya. Saya mencampuri hal yang sebenarnya bukan urusan saya sejak awal lagi,” tulisnya di Thread miliknya di sini hari ini.

Asyraf turut memberitahu, beliau juga tidak mempunyai sebarang masalah untuk duduk semeja dengan Fazura apabila dimaklumkan mengenai aturan tempat duduk pada majlis berkenaan.

“Hari ini (semalam), apabila Bella bertanya sama ada kami selesa duduk bersama, saya katakan sudah tentu tiada masalah daripada pihak saya.

“Apabila Fazura tiba, kami bersalaman dan berbual ringkas dan saya dapat rasakan, perkara ini bukan sekadar membabitkan netizen,” katanya.

Kongsi Asyraf, dia percaya Fazura turut terkesan dengan kenyataan yang pernah dikeluarkannya apatah lagi, mereka sudah saling mengenali sebelum ini.

“Dia mungkin juga terkesan dengan apa yang pernah saya katakan, lebih-lebih lagi kerana kami pernah saling mengenali sebelum ini.

“Jadi, apabila ada peluang, saya sedikit mendekat dan berkata, Faz, saya ingin memohon maaf atas apa yang saya katakan sebelum ini. Saya tidak sepatutnya memberi komen atau mencampuri urusan orang lain’,” katanya.

Menurut Asyraf, Fazura menerima permohonan maaf itu dengan hati terbuka.

“Dia mendengar dan dia menerima permohonan maaf saya. Selepas itu? Kami hanya teruskan perbualan mengenai kehidupan dan pelbagai perkara.

“Dia sangat baik dan itu cukup menggambarkan keperibadiannya,” katanya.

Pada masa sama, Asyraf turut memohon maaf kepada mana-mana pihak yang terkesan dengan kenyataannya sebelum ini selain menegaskan dirinya kini lebih matang dalam menilai sesuatu perkara.

“Kepada sesiapa yang terkesan dengan kata-kata saya ketika itu, saya mohon maaf. Dengan sepenuh hati. Saya sudah belajar. Saya sudah berubah. Saya akan terus berusaha menjadi lebih baik,” katanya.

Terdahulu, Asyraf dan isterinya, Tya Arifin dikecam netizen susulan tindakan mengupas isu pergolakan rumah tangga Fazura bersama bekas suaminya, Fattah Amin dalam sesi podcast. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast