Mohamad Hafizi Ismail (kiri) dan Muhammad Zaaidul Faiz Sobri kini boleh berbangga menguruskan perniagaan ruminan menerusi syarikat Tekun Lestari Enterprise.

KUALA LUMPUR – Keputusan mengikuti Program Hijrah Asnaf Ruminan kelolaan Agrobank pada 2021 membuka jalan buat dua anak muda dari Kuala Nerang, Kedah untuk memulakan perniagaan dalam bidang ruminan.

Meskipun langsung tidak mempunyai pengalaman dan pengetahuan dalam selok-belok perniagaan, namun Mohamad Hafizi Ismail dan Muhammad Zaaidul Faiz Sobri kini boleh berbangga apabila menguruskan syarikat Tekun Lestari Enterprise atau lebih dikenali sebagai Tekun Lestari Agrofarm.

Berkongsi sejarah pembabitan mereka dalam bidang perniagaan ruminan itu, Mohamad Hafizi berkata, beliau dan Muhammad Zaaidul Faiz yang merupakan graduan Pengajian Islam dari Universiti Malaya (UM) bertuah kerana diperkenalkan dengan Program Hijrah Asnaf Ruminan.

Katanya, program itu bukan sekadar mendedahkan mereka kepada asas perniagaan, malah turut menyediakan bantuan dan sokongan dari segi material serta dana, selain bimbingan berterusan daripada pegawai bertauliah Agrobank bagi memastikan kelangsungan perniagaan mereka.

ANTARA haiwan ternakan di ladang Tekun Lestari Enterprise.

“Pada peringkat awal, Agrobank membekalkan kami dua ekor lembu untuk memulakan perniagaan.

“Bermodalkan dua ekor lembu itu serta bantuan kewangan dengan nilai keseluruhan kira-kira RM10,000, kami sedikit demi sedikit mengembangkan perniagaan sehinggalah ke hari ini yang mana kami mempunyai 23 ekor lembu serta kira-kira 40 ekor kambing dan biri-biri di ladang ternak di Kuala Nerang, Kedah,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Lebih membanggakan, operasi Tekun Lestari Agrofarm kini juga semakin berkembang apabila turut menguruskan sehingga 30 ekor lembu fidlot bagi tujuan ibadat korban setiap kali tibanya musim perayaan Aidiladha.

Malah, syarikat itu turut memperluaskan cabang perniagaan dengan menyediakan perkhidmatan katering terutamanya bagi mereka yang mengadakan majlis akikah, selain turut memasarkan produk sejuk beku daging lembu dan kambing perap.

Tekun Lestari Enterprise hasil usaha dua anak muda dari Kuala Nerang, Kedah.

Menurut Mohamad Hafizi, selain bantuan awal yang diterima menerusi Program Hijrah Asnaf Ruminan, beliau turut memohon pembiayaan mikro daripada Agrobank berjumlah RM40,000 pada 2024, bagi mengembangkan lagi operasi syarikatnya.

Katanya, operasi syarikat Tekun Lestari Agrofarm miliknya dan Muhammad Zaaidul Faiz tidak mungkin dapat bertahan sehingga ke hari ini tanpa bantuan kewangan dan sokongan daripada Agrobank.

Jelasnya, mereka juga secara berterusan mendapat bimbingan daripada pakar-pakar berpengelaman menerusi Pusat Kecemerlangan Agrobank (ACE), sekali gus menyifatkan keputusan memilih bank tersebut untuk mengembangkan perniagaan sebagai langkah tepat.

“Selain kadar faedah pembiayaan mikro Agrobank yang rendah, proses kelulusan juga tidak mengambil masa yang lama.

“Malah, sepanjang setahun selepas kelulusan pembiayaan, pegawai Agrobank juga kerap turun padang memantau perkembangan syarikat kami.

“Interaksi dan perhatian daripada mereka sebenarnya menaikkan serta menyuntik semangat kami untuk terus berjaya dalam bidang perniagaan ini,” katanya.

Orang ramai khususnya di sekitar Kuala Nerang, Kedah yang ingin mendapatkan produk ruminan daripada Tekun Lestari Agrofarm boleh melayari laman sosial Facebook mereka atau menghubungi Mohamad Hafizi di talian 013-4570029 atau Muhammad Zaaidul Faiz (019-3923756).

ANTARA haiwan ternakan di ladang Tekun Lestari Enterprise.

Program Hijrah Asnaf Ruminan itu merupakan sebahagian daripada produk yang ditawarkan oleh Agrobank dalam menyokong usahawan tempatan menerusi pelbagai bidang perniagaan khususnya berkaitan dengan keterjaminan makanan.

Sekadar menamakan beberapa pilihan, antara produk yang ditawarkan Agrobank ketika ini termasuk Agronita; Hartani-i; Agro i-Sinar; Pembiayaan Kontrak Agro-i; Program Kemudahan Agromakanan; Agro Halal dan banyak lagi.

Terbaharu, Agrobank turut memperkenalkan Program Agro Pintar Niaga (AgroPintar) dengan peruntukan pembiayaan mikro sebanyak RM50 juta dan padanan geran i-Tekad bernilai RM5 juta.

Seperti dijelaskan Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussein, program AgroPintar itu meliputi aspek literasi kewangan terutama pengurusan kewangan, pengurusan risiko kredit serta kawalan hutang.

Presiden Kumpulan dan CEO Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussein (kiri) dan Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Adnan Zaylani Mohamad Zahid. – Foto: FB Agrobank

Menurutnya, ia sekali gus memperkasa usahawan mikro dalam mengurus serta mengembangkan perniagaan secara mampan.

Tambahnya, dengan bimbingan berstruktur, para peserta program akan dilengkapkan dengan kemahiran membuat keputusan kewangan dan perniagaan secara bijak, seterusnya meningkatkan kebolehupayaan mereka dalam mengurus pelbagai aspek perniagaan secara efisien.

Sementara itu, berkongsi pandangan mengenai peranan Agrobank, Ketua Strategi & Risiko, Azman Hashim International Business School, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Razli Ramli berkata, Agrobak kini beroperasi dengan mandat jelas di bawah DAFIA 2002, iaitu untuk menyokong pembangunan sektor pertanian dan agromakanan negara.

Menurut beliau, mandat itu menjadikan Agrobank berbeza daripada bank-bank komersial biasa kerana tumpuan utamanya adalah kepada keberhasilan dan kesejahteraan petani, nelayan serta perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dalam sektor agro.

“Agrobank tidak perlu bersaing secara kompetitif dengan bank lain, sebaliknya mewujudkan sinergi untuk memastikan pembiayaan sektor agromakanan lebih berkesan.

“Dengan cara ini, setiap institusi kewangan memainkan peranan masing-masing mengikut mandat penubuhannya, sekali gus memperkukuh ekosistem agromakanan negara,” katanya yang juga Setiausaha Agung Persatuan Senior Kewangan Islam.

Dr. Razli Ramli.

Tambah Razli, bagi memastikan Agrobank terus berkembang dan kekal relevan, beberapa langkah boleh dipertimbangkan antaranya menambah inovasi produk pembiayaan bersesuaian dengan keperluan petani dan PMKS.

Selain itu, ujarnya, Agrobank juga boleh meningkatkan kolaborasi strategik dengan institusi lain, serta menekankan indeks petunjuk prestasi (KPI) berfokus kepada hasil sebenar sektor agromakanan.

Dalam masa sama, tambah beliau, Agrobank juga perlu memperkukuh peranan advisory dan khidmat bimbingan kepada peladang dan perusahaan mikro agar mereka lebih berdaya saing.

“Dengan pendekatan ini, AgroBank bukan sahaja mampu bertahan dalam industri perbankan, tetapi terus menjadi tulang belakang pembangunan agromakanan negara,” katanya.

Sehubungan itu, tambah Razli, Ahli Lembaga Pengarah dan barisan pengurusan Agrobank perlu memastikan KPI mereka bukan sahaja menilai keuntungan, tetapi juga menilai kejayaan sebenar sektor agromakanan seperti peningkatan pendapatan petani, produktiviti nelayan dan daya maju PMKS.  – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast