Andansura Rabu

KUANTAN – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak sepatutnya mudah melenting dalam menerima teguran rakyat berhubung isu kenaikan harga bahan api.

Timbalah Pesuruhjaya Pas Pahang,  Datuk Andansura Rabu berkata, tindakan Anwar melabel pihak yang menyalahkan kerajaan sebagai `kurang cerdik’ menunjukkan Perdana Menteri mudah tersinggung dengan pandangan rakyat.

Beliau yang juga Ahli Dewan Negeri Beserah menambah, kritikan terhadap kerajaan adalah perkara biasa, malah pernah dilakukan oleh pihak sama ketika berada di blok pembangkang sebelum ini.

“Dulu masa jadi pembangkang, mereka bebas bercakap dan mengkritik kerajaan. Tapi bila kena pada diri sendiri, terus melenting.

“Pada saya, kenyataan sebegitu seolah-olah kerajaan menghina rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Aidilfitri Pas dan Perikatan Nasional (PN) Indera Mahkota di Seberang Balok, di sini, hari ini.

Andansura mengulas ucapan Anwar pada program Anak Muda Madani Pahang di perkarangan UTC Pahang di Kuantan, semalam yang dilaporkan menyifatkan pihak yang menyalahkan kerajaan atas kenaikan harga runcit bahan api sebagai golongan yang `kurang cerdik’ serta tidak mengikuti perkembangan semasa dunia.

Selain itu, Andansura turut mendesak kerajaan menjelaskan langkah konkrit bagi menangani tekanan kenaikan harga bahan api susulan konflik geopolitik melibatkan Iran, Amerika Syarikat dan Israel.

Beliau turut membandingkan situasi semasa dengan pendekatan kerajaan ketika pandemik Covid-19 yang lebih mencabar kerana melibatkan krisis kesihatan global.

“Ketika Covid-19, kerajaan ketika itu ambil pelbagai langkah supaya rakyat terus hidup walaupun tidak boleh bekerja, mereka masih dapat bantuan, perniagaan dibantu dan bekalan makanan terjamin.

“Namun, ketika itu juga, mereka tetap kritik kerajaan dan mendakwa ia gagal, malah mendesak Parlimen dibuka walaupun keadaan tidak mengizinkan.

“Mereka kata kita kerajaan gagal, nak minta Parlimen dibuka, nak bahas, sedangkan pada masa itu keadaan tidak mengizinkan kita berkumpul atau berhimpun,” tambahnya.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan hari ini lebih terbuka menerima kritikan serta memberi tumpuan kepada penyelesaian isu kos sara hidup rakyat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast