Seorang duda ditangkap khalwat dengan seorang wanita di sebuah rumah teres dua tingkat di sebuah taman di Kluang, kelmarin.

KLUANG – Seorang duda yang ditangkap khalwat dalam sebuah rumah teres dua tingkat di sebuah taman perumahan di sini memberi alasan dia bermalam di situ kerana kereta teman wanitanya rosak.

Semasa serbuan dilakukan pukul 10 malam kelmarin, lelaki berkenaan memaklumkan menghantar wanita tersebut pulang ke rumahnya selepas keretanya rosak.

Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) memberitahu, alasan itu tidak munasabah malah tidak meyakinkan penguat kuasa kerana kedua-duanya ditangkap semasa berada dalam rumah wanita berkenaan.

“Apabila ditanya kenapa datang ke rumah wanita pada waktu malam, lelaki menjawab, dia membantu kereta wanita yang rosak di satu lokasi dan tolong hantar wanita pulang ke rumah naik motosikal.

“Kalau betul bantu kerana kereta rosak, tiada masalah apa-apa. Cuma masalahnya kenapa hantar sampai lelaki masuk dalam rumah malam-malam. Pintu pula kunci dan rumah pula sunyi,” jelas kenyataan tersebut.

JAINJ memaklumkan, sebelum itu, pihaknya melakukan serbuan selepas mendapat maklumat orang awam pada pukul 9.30 malam.

Pengadu memaklumkan, kunjungan lelaki berkenaan bukan setiap hari tetapi dalam sebulan dua atau tiga kali.

Semasa serbuan dibuat, tiada kereta yang dikatakan milik wanita tetapi ada sebuah motosikal berhampiran rumah berkenaan.

Cahaya di ruang depan terang dan dalam rumah samar-samar sebelum dua penguat kuasa ditugaskan menjaga pintu belakang bagi menghalang sesiapa melarikan diri.

Apabila penguat kuasa mengetuk pintu, ia dibuka lima minit kemudian oleh seorang lelaki yang memakai t-shirt dan berseluar panjang.

Penguat kuasa memperkenalkan diri dan masuk untuk membuat pemeriksaan lanjut sebelum menemui seorang wanita memakai seluar panjang, t-shirt lengan panjang dan bertudung.

“Penguat kuasa bertanya apakah hubungan mereka berdua. Lelaki menjawab, wanita itu adalah bakal isterinya. Penguat kuasa bertanya sekali lagi dengan nada yang tegas kerana tidak berpuas hati dengan perkataan ‘bakal’ itu tadi.

“Lelaki menjawab sekali lagi yang mereka berdua-duaan sahaja, tiada hubungan apa-apa dan bukan suami isteri,” jelas kenyataan itu lagi.

Lelaki berkenaan berstatus duda berumur 20-an itu sudah bercerai dan mempunyai seorang anak yang dijaga oleh bekas isterinya.

Wanita pula berusia 20-an, berasal dari sebuah negeri di Pantai Timur.

“Mereka berkenalan di Kluang apabila wanita ini bertugas di sini selepas tamat pengajian di universiti tempatan. Lelaki itu banyak membantu wanita ini kerana masih baru di sini dan belum ramai kawan.

“Tambah lagi, wanita ini mendapat layanan istimewa daripada lelaki sehingga lupa yang bantuan semuanya ada makna tersirat,” dakwa JAINJ.

Pasangan berkenaan kemudian ditahan mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Negeri Johor) 1997 kerana berkhalwat.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast