JOHOR BAHRU – Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pertumbuhan ekonomi memberangsangkan di Johor ketika ini adalah hasil kerjasama antara kerajaan negeri dan kerajaan Pusat.
Menurut Perdana Menteri, hubungan tersebut menjadi tunjang kejayaan termasuk pelaksanaan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang menarik banyak kemasukan pelabur asing.
Jelasnya, perkara tersebut perlu diterangkan agar sokongan dan usaha kerajaan Pusat memain peranan penting bagi memacu pertumbuhan ekonomi di negeri ini dapat dihayati.
“Johor memang mencatat pertumbuhan ekonomi yang baik tapi kebanyakannya kerana hubungan gagasan kerajaan Pusat.
“Forest City kita pulihkan, projek Maharani freeport yang usulnya tertangguh lama kita bantu, keputusan inisiatif JS-SEZ dibuat kerajaan pusat, kita memberi laluan.
“Siapa kepimpinan kerajaan… kita tidak menafikan jentera kerajaan negeri Johor membantu tetapi ini adalah fakta yang kita perlu terangkan,” katanya yang juga Menteri Kewangan.
Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu berkata demikian ketika berucap dalam Konvensyen Keadilan Johor di Ekoflora di sini hari ini.
Yang turut hadir Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) merangkap Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil dan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Johor, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.
Anwar berkata, keputusan bagi kesemua projek itu bukan mudah malah menerusi perbincangan dijalankan berulang-kali serta usaha berterusan.
“Saya berulang kali berhubungan dengan Lee Hsein Loong, Perdana Menteri Singapura pada ketika itu bagi meyakinkan beliau tentang projek JS-SEZ.
“Bukan senang untuk memujuk negara maju seperti Singapura untuk menjalin persefahaman,” ujarnya. – MalaysiaGazette















