Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia, Datuk Dr Dominic Lau.

KUALA LUMPUR – Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) mengalu-alukan parti yang bakal diterajui oleh Datuk Seri Hamzah Zainudin menyertai Perikatan Nasional (PN) selagi membawa ideologi yang sama.

Bagaimanapun, Presidennya, Datuk Dr Dominic Lau berkata, permohonan untuk menyertai PN perlu melalui prosedur dan mengikut perlembagaan yang ditetapkan.

“Memanglah mana-mana parti-parti yang mahu menyertai PN kita alu-alukan, tetapi mesti ikut prosedur dan perlembagaan PN,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis Makan Malam Sempena Aidilfitri anjuran Gerakan di sini, malam ini.

Seperti mana hasrat Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Dominic berkata, PN sehingga kini masih mempertimbangkan permohonan parti itu.

“Seperti baru-baru ini, Pejuang ada mohon masuk PN tapi kita tidak terus terima, bukan kita tolak tapi kita nak perincian yang lebih daripada parti tersebut sebelum kita terima mereka,” tambahnya.

Terdahulu, beliau berkata, PN mengalu-alukan parti yang berkongsi ideologi yang sama untuk menjadi salah satu komponen gabungan parti politik tersebut.

Ujarnya, ideologi yang perlu dibawa antaranya adalah perjuangan untuk membela rakyat.

“Sebagai satu komponen parti dalam PN, asalkan ideologi yang sama, untuk membantu rakyat, mewakili rakyat, bersuara dalam Parlimen, kita memang alu-alukan,” katanya lagi.

Baru-baru ini, Hamzah yang juga Ketua Pembangkang memberi bayangan partinya masih berada dalam gabungan PN.

Menurut Ahli Parlimen Larut yang dipecat daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu, status ‘rumah baharu’ yang bakal diumumkannya membayangkan wadah politik mungkin sebuah parti sedia ada yang kini berada dalam gabungan PN.

Ditanya mengenai bagaimana hubungan di antara Hamzah dengan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Dominic berkata, Gerakan tidak mencampuri urusan dalaman komponen parti dalam perikatan berkenaan.

“Gerakan tidak campur tangan tentang pendirian parti komponen dalam PN, kita tidak campur tangan politik dalaman Pas, Bersatu, Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), kita kekal neutral, tapi mesti eratkan perhubungan dan perpaduan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast