Foto FB Fuziah Salleh

KUALA LUMPUR – Pemuda MCA meminta kerajaan terutamanya Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup yang juga Pengerusi Yayasan Madani, Datuk Fuziah Salleh untuk menjawab beberapa persoalan penting berhubung penubuhan Madani Mart.

Setiausaha Agungnya, Saw Yee Fung berkata, antara isu utama yang masih menjadi tanda tanya adalah siapa yang mengawal sistem kedai runcit komuniti itu dan bagaimana ia diuruskan.

Beliau turut mempersoalkan sama ada wujud konflik kepentingan dalam perniagaan tersebut.

Ini kerana menurut beliau, tanpa subsidi atau mekanisme pendedahan yang mencukupi, model operasi Madani Mart kelihatan bercanggah.

“Jika benar tiada sokongan kerajaan, syarikat manakah yang sanggup menyertai sistem yang mengenakan yuran francais sambil mengehadkan saluran bekalan?

“Jika logik komersialnya tidak jelas, syak wasangka awam terhadap kewujudan pengaturan tersembunyi adalah tidak dapat dielakkan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tegas Yee Fung, isu teras yang perlu ditumpukan ialah sama ada sumber dan ruang pasaran inisiatif terbaharu kerajaan itu diurus dalam satu struktur yang dikawal oleh kelompok politik tertentu atau tidak.

Ini kerana apabila dasar, sumber dan pelantikan tertumpu pada pihak yang sama, isu terkait ketelusan mungkin akan timbul.

ARTIKEL BERKAITAN

https://malaysiagazette.com/2026/04/03/madani-mart-tak-ciplak-model-kedai-rakyat-1malaysia-fuziah/

Tambah Yee Fung, berdasarkan maklumat yang tersedia, Yayasan Madani dipengerusikan oleh Fuziah manakala pengasas dan pengarahnya merupakan setiausaha politik kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan.

Menurut beliau, semakan Pemuda MCA terhadap laman web rasmi Yayasan Madani yang merupakan pemilik jenama Madani Mart tidak menunjukkan penjelasan terperinci mengenai model operasi, sumber pembiayaan atau bagaimana dana digunakan.

Sedangkan katanya, sebuah projek yang memberi kesan kepada bekalan barangan keperluan negara seharusnya telus 100 peratus.

Tegas beliau, Madani Mart bukan inisiatif masyarakat sivil yang biasa sebaliknya merupakan platform yang berkait rapat dengan tokoh penting kerajaan namun sedang melaksanakan kos sara hidup di peringkat nasional.

“Bagaimanakah sebuah yayasan boleh dianggap sebagai badan bebas apabila kepimpinannya begitu rapat dengan tokoh politik tertinggi kerajaan?

“Pertindihan ini menimbulkan kebimbangan jelas mengenai penumpuan kuasa, potensi konflik kepentingan, serta kekurangan ketelusan dalam proses membuat keputusan.

“Tanpa pembiayaan kerajaan, bagaimana pengembangan pesat ini dapat dicapai? Tanpa pendedahan yang sewajarnya, sumber apakah yang digunakan dan siapakah yang menyokong usaha ini di sebalik tabir?” ujarnya lagi.

Sehubungan itu, Pemuda MCA menggesa kerajaan menjawab persoalan ini secara langsung, bukannya berulang kali menegaskan bahawa tiada dana awam digunakan.

Jika tiada apa yang perlu disembunyikan katanya, kerajaan wajar mendedahkan sumber pembiayaan, proses pelantikan serta mekanisme operasi Madani Mart.

Madani Mart yang dilancarkan Anwar pada 3 April lalu di Kuantan, Pahang dilaporkan tidak meniru atau menciplak model Kedai Runcit 1Malaysia (KR1M) yang diperkenalkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebelum ini.

Fuziah menegaskan, Madani Mart menggunakan pendekatan baharu tanpa melibatkan perbelanjaan modal kerajaan.

Ia menawarkan barangan asas pada harga rahmah yang lebih murah berbanding pasaran, menjamin bekalan barang keperluan di luar bandar dan separa bandar serta mewujudkan rangkaian peruncitan komuniti lebih tersusun dan dekat dengan rakyat.

Premis dikendalikan operator tempatan atau rakan strategik, manakala Yayasan MADANI berperanan membantu dari segi penyelarasan, penjenamaan dan jaringan pembekal.

Barangan pula dijual pada harga lebih rendah melalui konsep harga rahmah dengan tumpuan khusus diberikan kepada kawasan luar bandar, separa bandar dan kawasan kurang akses kepada pasar raya besar. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast