Pemangku Ketua Pemuda Gagasan Rakyat, Azrul Ibrahim.

KUALA LUMPUR – Kebenaran penangguhan pelaksanaan bayaran 40 peratus hasil Sabah menimbulkan kebimbangan yang wajar dalam kalangan rakyat negeri itu.

Pemangku Ketua Pemuda Gagasan Rakyat, Azrul Ibrahim berkata, walaupun Kerajaan Persekutuan telah mengesahkan bahawa formula 40 peratus terpakai untuk Sabah serta keperluan untuk semakan semula diakui, keputusan penangguhan itu memberi isyarat kurang meyakinkan dari segi komitmen pelaksanaannya.

Hakikatnya, ujar beliau, walaupun terdapat rayuan di Mahkamah Rayuan berkaitan aspek tertentu keputusan Mahkamah Tinggi yang melibatkan “Tahun-Tahun Hilang” (1974–2021), perkara tersebut tidak seharusnya menghalang usaha untuk menyemak dan melaksanakan kelayakan 40 peratus bagi tahun-tahun semasa.

Jelasnya, kedua-dua perkara itu perlu dilihat secara berasingan dan ditangani dengan pendekatan yang lebih konstruktif.

“Sabah amat memerlukan peruntukan tambahan ini bagi memenuhi keperluan pembangunan infrastruktur asas serta meningkatkan kesejahteraan rakyat.

“Justeru, pelaksanaannya tidak wajar ditangguhkan dan perlu disegerakan demi kepentingan rakyat secara keseluruhan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, perlu ditegaskan hak 40 peratus bukan satu bentuk rundingan politik atau “bargaining chip” yang boleh ditawar-menawar.

Sebaliknya, ujar beliau, ia adalah hak berasaskan Perlembagaan yang mesti dihormati dan dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab.

Menurutnya, satu garis masa yang jelas dan komprehensif perlu dikemukakan bagi menjelaskan bila dan bagaimana pelaksanaan semakan serta pembayaran itu akan dilaksanakan.

“Rakyat Sabah berhak mengetahui hala tuju sebenar perkara ini tanpa sebarang ketidakpastian,” katanya.

Dalam masa sama, tambah Azrul, hubungan Persekutuan-Sabah yang kukuh seharusnya diterjemahkan melalui keikhlasan dan niat baik untuk mencari penyelesaian, tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada proses mahkamah.

Tegas beliau, perkara yang melibatkan kepentingan rakyat tidak seharusnya terus tertangguh.

“Akhirnya, rakyat Sabah diseru untuk terus tenang, bersatu dan konsisten dalam memperjuangkan hak negeri ini.

“Perjuangan ini adalah tanggungjawab bersama, dan ia perlu diteruskan dengan pendekatan yang berhemah serta berterusan demi memastikan hak Sabah dilaksanakan sebagaimana yang termaktub,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast