Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming menghadiri Majlis Sambutan Hari Kebahagiaan Sedunia Peringkat Kebangsaan Tahun 2026 di KPKT, hari ini.

PUTRAJAYA – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) kekal komited dalam memperkukuh Indeks Kebahagiaan Rakyat Malaysia (Malaysia Happiness Index – MHI) melalui pendekatan pembangunan bandar yang mampan, inklusif dan berteraskan kesejahteraan rakyat.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, pencapaian Malaysia dalam World Happiness Report 2026 jelas membuktikan bahawa dasar Kerajaan MADANI berada pada landasan yang tepat.

“Berdasarkan skala 0 hingga 10 dalam Laporan World Happiness Report 2026, Malaysia mencatat skor 6.005 bagi tempoh 2023 hingga 2025, meningkat sebanyak 0.045 mata berbanding sekitar 5.96 sebelum ini.

“Skor ini mencerminkan usaha Kerajaan MADANI terhadap tahap kebahagiaan rakyat yang tidak sahaja kekal stabil, malah meningkat dalam persekitaran global yang semakin mencabar,“ujar beliau ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Kebahagiaan Sedunia Peringkat Kebangsaan Tahun 2026 di KPKT, hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut menggariskan beberapa keutamaan strategik KPKT dalam memperkukuh agenda pembangunan bandar mampan negara.

Ini termasuk memperkasa agenda Bandar Pintar dan Tadbir Urus Digital; melonjakkan Kualiti Infrastruktur Awam termasuk pelaksanaan 400 projek di Kampung Baru dan 100 projek Taman Rekreasi MADANI.

KPKT juga merancang untuk mempergiat pengurusan sisa dan Ekonomi Kitaran melalui penyediaan 25 pusat pengitaran semula sisa pepejal pintar; dan memperkukuh Keselamatan dan Daya Tahan Bandar melalui pangkalan data banjir komprehensif dan pemerkasaan JBPM.

Tambah beliau, Malaysia turut mencatat tahap kebahagiaan sebanyak 81 peratus, mengatasi purata global iaitu 74 peratus, berdasarkan Ipsos Happiness Report 2026.

“Kebahagiaan yang kita miiliki hari ini perlu dipelihara secara bersama. Janganlah kita terjebak dan bertindak secara melulu terhadap sebarang naratif negatif yang dilaksanakan bagi memecahbelahkan kita.

“Ayuh kita menonjolkan semangat perpaduan sebagai kekuatan negara,” katanya lagi. -MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast