KUALA LUMPUR – Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Steven Sim Chee Keong menampilkan kisah kejayaan seorang usahawan, Kak Saleha yang kini mengembangkan perniagaan nasi lemaknya ke tahap lebih besar selepas bermula secara kecil-kecilan di tepi jalan.
Ahli Parlimen Bukit Mertajam tampil berbangga dengan perniagaan perniagaan Nasi Lemak Saleha bermula dengan hanya menjual dari meja lipat di bawah payung di tepi jalan dengan makanan dimasak sendiri dari rumah dan dibungkus secara manual.
“Kadang-kadang pihak berkuasa tempatan datang ‘angkut’ gerai, tetapi permintaan pelanggan yang tinggi terhadap nasi lemaknya menjadi titik perubahan,” katanya baru-baru ini.
Steven berkata, Kak Saleha kemudian membuat pinjaman awal sebanyak RM3,000 daripada Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) bagi mengembangkan perniagaan tersebut.
“Hari ini, selepas 15 tahun usaha gigih, Nasi Lemak Saleha bukan lagi sekadar gerai tepi jalan. Mereka kini mempunyai restoran sendiri, central kitchen serta menggaji puluhan pekerja,” ujarnya.

Beliau berkata, jumlah jualan harian juga meningkat mendadak daripada hanya ratusan bungkus kepada kira-kira 15,000 bungkus sehari.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan usahawan tersebut turut menerima pelbagai bentuk sokongan agensi di bawah KUSKOP termasuk pembiayaan AIM, bantuan SME Corp serta pinjaman TEKUN Nasional.
“Malah tahun lalu, perniagaan ini turut menerima pengiktirafan Enterprise 50 (E50) daripada SME Corp,” katanya.
Menurutnya, generasi kedua perniagaan itu kini diterajui anak Kak Saleha, Dr Rizal yang merupakan seorang doktor perubatan dan kini memegang jawatan ketua pegawai operasi syarikat.
“Beliau juga pernah mengikuti latihan di Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) sebelum membantu mengembangkan lagi operasi syarikat keluarga ini,” jelasnya lagi.
Steven berkata, pihaknya turut dimaklumkan syarikat tersebut menyasarkan untuk menggandakan kapasiti pengeluaran pada masa hadapan.
“Untuk capai sasaran itu, mereka memerlukan akses kepada pembiayaan yang lebih mudah bagi memperluaskan fasiliti perniagaan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau telah mengarahkan agensi-agensi di bawah KUSKOP untuk mengadakan perbincangan lanjut dengan pihak syarikat bagi mengenal pasti bentuk bantuan yang bersesuaian.
“Kisah seperti ini membuktikan ramai usahawan hebat bermula daripada langkah kecil. Misi kita adalah memastikan perniagaan kecil berkembang menjadi besar dan yang besar terus berkembang,” ujarnya lagi. – MalaysiaGazette
















