KUANTAN – Peluh menitis, nafas tersekat, otot seakan memberontak, namun bagi atlet kecergasan dalam rekod dunia, Jey Prabakaran Thevar, 29, cabaran itu adalah harga yang perlu dibayar untuk mencipta sejarah lagi.
Atlet kelahiran Kuala Lipis ini sekali lagi mencuri perhatian apabila mengumumkan misi paling ekstrem dalam kariernya dengan melakukan latihan kardio dan angkat berat tanpa henti selama 18 jam, sekali gus memburu rekod dunia ketiganya.
“18 jam ini bukan sekadar rekod. Ini adalah ujian sebenar sejauh mana manusia boleh pergi tanpa menyerah,” katanya penuh tekad.
“ Bermula awal April, saya menjalani latihan intensif tanpa kompromi selama dua sesi sehari, enam hari seminggu dengan kawalan pemakanan yang ketat dan disiplin tinggi.
Namun katanya perjalanan ke tahap ini bukan datang dalam sekelip mata kerana memerlukan pengorbanan bagi mencapai kejayaan.
Atlet yang dikenali Dr. KJEY sebelum ini telah mencipta dua rekod dunia menerusi cabaran ketahanan luar biasa selama 12 jam dan 15 jam latihan tanpa henti yang berjaya meletakkan namanya dalam kalangan atlet endurance elit dunia.
Jey turut memecahkan rekod Asia 13 jam, sekali gus mengatasi had yang sebelum ini dianggap mustahil.
Lebih mengagumkan, beliau bukan sekadar memecahkan rekod antarabangsa, malah terbaharu, beliau turut menguasai pentas tempatan apabila berjaya mencipta tiga rekod kebangsaan sempena Hari Sukan Negara.
Dalam beberapa penampilan terdahulu, Dr. KJEY juga dikenali sebagai atlet yang konsisten menyertai pelbagai cabaran kecergasan berintensiti tinggi.
Ia termasuk acara “non-stop endurance training”, yang menguji kekuatan fizikal dan mental secara serentak sekali gus menjadikan beliau antara figura unik dalam landskap sukan kecergasan negara.
Namun bagi beliau, semua pencapaian itu hanyalah permulaan kerana beliau mementingkan fokus dan konsiten dalam sukan berkenaan.
“Setiap hari adalah pertempuran. Setiap minit adalah ujian ketahanan.
“Ia bukan sekadar latihan. Ia seperti berperang dengan diri sendiri setiap hari,” ujarnya.
Anak muda yang aktif dalam persatuan belia ini juga belajar erti persahabatan dan kesetiaan apabila kekal bersama jurulatih yang membimbingnya sejak dari mula.
Di sebalik kejayaan demi kejayaannya berdiri teguh seorang jurulatih yang menjadi tulang belakang perjuangannya dikenali Muhamad Sayzwan merupakan individu yang telah membimbing beliau menakluk rekod dunia pada tahun 2023 dan 2024.
Selain itu, transformasi fizikalnya juga luar biasa bagi mengejar sasaran pencapaian dunia itu apabila perlu mengurangkan berat badan.
Daripada fasa awal hingga kini, Jey telah berjaya menurunkan 35 kilogram, membentuk tubuh yang bukan sahaja kuat, tetapi benar-benar bersedia untuk cabaran ekstrem.
Dalam diam katanya perjuangan beliau turut didukung oleh keluarga, rakan-rakan serta Jabatan Belia dan Sukan Pahang yang terus memberi sokongan padu kepadanya.
“Ini satu peluang untuk membuktikan bahawa had manusia bukan sesuatu yang statik tetapi boleh dipecahkan, saya akan cuba sedaya upaya,” katanya lagi.
Dan jika berjaya, beliau berharap nama Dr. KJEY bukan sekadar tercatat sebagai pemegang rekod dunia tetapi sebagai simbol keberanian, ketahanan dan semangat luar biasa Malaysia di pentas global. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN :
Dr. Kjey pecah rekod dunia dengan menu diet disediakan ibu
Jey Prabakaran nak cipta MBOR lagi















