KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kebangkitan Tiga Tangan Selangor mempersoalkan keputusan mahkamah membenarkan jaminan kepada pemilik pusat jagaan kanak-kanak di Batu Caves yang berdepan pertuduhan amang seksual.
Timbalan Pengerusinya, Sharwin Subramani berkata, pihaknya tidak berpuas hati memandangkan kes tersebut melibatkan mangsa bawah umur serta kesalahan yang serius.
“Kami tidak berpuas hati kerana mangsa adalah kanak-kanak, tetapi jaminan masih dibenarkan. Undang-undang perlu lebih tegas supaya kes seperti ini tidak berulang,” katanya ketika ditemui selepas prosiding kes hari ini.

Menurutnya, kes berkenaan perlu diberi perhatian serius oleh semua pihak termasuk kerajaan, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan agensi penguat kuasa bagi memastikan keadilan ditegakkan sepenuhnya.
Beliau turut menegaskan bahawa kegagalan mengambil tindakan tegas dalam kes melibatkan kanak-kanak hanya akan membuka ruang kepada kejadian sama berulang.
“Jika kes seperti ini tidak ditangani dengan tegas, ia akan memberi isyarat bahawa pelaku tidak perlu takut dengan undang-undang,” ujarnya.
Sementara itu, suasana di lobi Kompleks Mahkamah Ampang bertukar tegang apabila puluhan ibu bapa dan penjaga mangsa berkumpul seawal pagi bagi mengikuti prosiding kes tersebut.
Seorang bapa yang ditemui bersama beberapa keluarga lain mempersoalkan keputusan mahkamah membenarkan jaminan RM30,000 kepada tertuduh.
“Adakah nilai anak-anak kami hanya RM30,000?” katanya dengan nada tinggi, disambut laungan ibu bapa lain yang turut tidak berpuas hati.
Beberapa ibu bapa lain turut meluahkan kebimbangan terhadap keselamatan anak-anak mereka yang masih kecil dan tidak memahami sepenuhnya apa yang berlaku.
“Anak-anak kami masih kecil. Mereka hanya tahu makan, bermain dan belajar. Sekarang perkara ini berlaku, kami sendiri takut untuk hantar mereka ke mana-mana lagi,” kata seorang ibu.

Lebih menyayat hati, ada ibu bapa ketika ditemui MalaysiaGazette mendakwa anak-anak mereka bukan sahaja menjadi mangsa penderaan seksual dan perlakuan luar tabii, malah turut dipukul serta dilayan secara kejam di pusat jagaan tersebut.
Dakwa mereka, ada mangsa dipukul menggunakan kayu buluh, ditendang dan dipijak selain mengalami kecederaan tanpa diberikan rawatan sehingga luka dibiarkan berdarah.
Malah, terdapat juga dakwaan kanak-kanak dipaksa makan cili serta dibiarkan berada di bawah panas selama berjam-jam sebagai bentuk hukuman.
Keadaan itu, kata mereka, menyebabkan mangsa hidup dalam ketakutan dan tidak berani mendedahkan penderaan yang dialami sebelum ini.
Terdahulu, Mahkamah Sesyen Ampang hari ini merekodkan pengakuan bersalah penjaga pusat jagaan itu terhadap 15 pertuduhan amang seksual dan seks luar tabii membabitkan lima kanak-kanak lelaki.
Bagaimanapun, pemiliknya, S Valan mengaku tidak bersalah untuk empat pertuduhan seksual sebelum dibenarkan diikat jamin dengan syarat tambahan. -MalaysiaGazette















