JASIN – Seorang lelaki dikenali ‘Ucuk’ dipercayai terbabit dalam kejadian kalimah `Allah’ dan `Bismillahirrahmanirrahim’ dalam tulisan Jawi yang diconteng pada dinding tokong di Jalan Jeti Anjung Batu- Pantai Siring, Serkam di sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Jasin, Superintendan Lee Robert berkata, perkara itu diperolehi berdasarkan maklumat awal daripada penduduk kampung yang pernah melihat individu berkenaan melakukan perkara sama di beberapa lokasi sekitar sebelum ini.
“Maklumat awal menunjukkan bekas pelajar tahfizi dikenali ‘Ucuk’ yang dipercayai kurang siuman pernah melakukan perbuatan menconteng tulisan sama di tembok tepi jalan serta tiang elektrik.
“Sehubungan itu, polis sedang mengesan lelaki ini kerana tidak menolak kemungkinan individu sama terlibat dalam kejadian di tokong ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Lee berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 11 malam semalam, polis menerima maklumat daripada orang awam selepas seorang lelaki yang sedang memancing menemukan tulisan berkenaan.
Pemeriksaan lanjut mengesahkan terdapat tulisan kalimah `Allah’ dan `Bismillahirrahmanirrahim’ dicat menggunakan warna putih pada dinding tokong tersebut.
“Siasatan awal juga mendapati status pemilikan tokong dan tanah berkenaan masih belum dikenal pasti dan semakan lanjut sedang dijalankan bersama Pejabat Daerah dan Tanah Jasin.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 295, Seksyen 298 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan membabitkan kesalahan mencemarkan tempat ibadat, melukakan perasaan agama serta khianat terhadap harta benda,” tambahnya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu boleh menghubungi pengawai penyiasat kes Inspektor Mohd Hafiz Othman di talian 017-3178434 atau mana-mana balai polis berhampiran. – MalaysiaGazette
















